PETALING JAYA – Pengarah Urusan XOX Berhad (XOX), Datuk Kenneth Vun telah berjaya menaikkan imej syarikat dengan meletakkan syarikat kini sebagai Penyedia Perkhidmatan Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) Terbaik pada Anugerah Pilihan Pembaca PC.com 2025 baru-baru ini.
Ini adalah pengiktirafan besar yang pertamanya sejak menerajui syarikat suku pertama tahun ini.
Anugerah tersebut bukan sahaja mencerminkan daya tarikan XOX yang semakin kukuh dalam kalangan pengguna, malah menandakan keteguhan beliau dalam memimpin kumpulan ini melalui perubahan serta menjadikan cabaran sebagai peluang pertumbuhan.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf kedudukan XOX dalam arena MVNO yang kompetitif, tetapi juga komitmen kami untuk mentakrifkan semula peranan syarikat dalam ekonomi digital Malaysia,” jelas Vun dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut juga telah ditentukan melalui undian pengguna di seluruh negara dan ia menandakan satu pencapaian penting bagi Vun, yang telah memacu XOX ke fasa baharu transformasi sejak pelantikannya.
Di bawah kepimpinan beliau, kumpulan ini telah melancarkan penjenamaan baharu HELLO YELLOW, memperkukuh jangkauan kepada golongan belia, serta transformasi peralihan daripada syarikat telekomunikasi tradisional kepada jenama digital berteraskan gaya hidup. -KOSMO! ONLINE