DI sebalik bangunan pentadbiran yang tersusun rapi, deruman enjin pacuan empat roda berjaya memecah keheningan pagi di Putrajaya.
Menjadikan trek ekstrem berhampiran pejabat kerajaan medan aksi lasak mendebarkan, Peninsula Safari Challenge (PSC) 2025 di Presint 6 berlangsung meriah baru-baru ini.
Acara selama tiga hari tersebut merupakan salah satu daripada empat siri PSC 2025 iaitu di Perak, Selangor, Putrajaya dan Terengganu.
Antara aktiviti menarik disediakan adalah pelbagai cabaran off-road termasuk TT Truck Trekkers, aktiviti lasak serta TT Motorsport yang menampilkan aksi drift, pameran sistem audio dan fun race yang memerlukan para peserta beradu ujian masa kepantasan mengendalikan pacuan empat roda yang melalui halangan ekstrem.
PSC juga menganjurkan Remote Control 4×4 Challenge serta Truck Show dan Drift Demonstration.
Peserta boleh menguji kemahiran melalui pengalaman memandu 4×4 ubah suai serta menyertai demonstrasi keselamatan dan kecemasan kenderaan.
Menurut Presiden Malaysian Four Wheel Drive Association (MFWDA), Mohd. Khairul Nizam Ibrahim Khan, objektif PSC 2025 adalah untuk memupuk sukan ekstrem dan permotoran di Malaysia

“Tahun lepas, PSC hanya menumpukan pada cabaran pacuan empat roda, tetapi pada tahun ini kami menambah elemen hiburan dan gaya hidup.
“Kali ini, kami juga membawa Truck Fiesta @Putrajaya dengan kehadiran artis popular untuk memeriahkan suasana dan menggalakkan semangat kekeluargaan.
“Objektif kami bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam pacuan empat roda, malah membina komuniti dan persaudaraan dalam kalangan peserta, keluarga dan pengunjung,” katanya kepada CitaRasa.
Majlis perasmian flag off disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd. Bahar, sebagai sebahagian daripada siri program tahunan PSC anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
PSC dibawakan oleh MFWDA, dianjurkan oleh Trekker X Venture dan disokong oleh Mitsubishi Motors Malaysia serta Eon Auto Mart.

Lebih 90 kelab pacuan empat roda termasuk komuniti 6×6, campervan dan camping menyertai PSC 2025. Penyertaan wanita meningkat ketara kepada 10 orang berbanding tiga orang pada edisi sebelumnya.
Penyertaan lelaki pula dibahagikan kepada tiga kategori iaitu long cabin seramai 40 peserta, short cabin (30 peserta) dan pick-up truck (30 peserta).
Semua peserta berumur 18 tahun ke atas, mengikut peraturan keselamatan dan kelayakan pemanduan.
Para peserta bersaing untuk membuktikan kehebatan dan merebut hadiah tunai menarik iaitu RM2,500 bagi juara, RM1,500 (naib juara) dan RM1,000 (tempat ketiga) di setiap zon.
Setiap Special Stage (SS) pula menawarkan hadiah bonus sebanyak RM150, RM100 dan RM50, sekali gus menjadikan persaingan sengit sehingga halangan terakhir.
Mohd. Khairul Nizam menjelaskan, Putrajaya dipilih sebagai lokasi PSC 2025 kerana kawasan itu luas, selamat dan sesuai untuk aktiviti lasak seperti pacuan empat roda.
“Lokasi ini mudah diakses oleh peserta dan pengunjung, sekali gus membolehkan lebih ramai hadir menyaksikan aksi menarik. Pengalaman penganjuran tahun lalu memudahkan penganjur mengurus acara supaya berjalan lancar,” katanya.














