BANGKOK – Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra diberikan tugasan kerja di penjara, lapor portal berita Thaiger hari ini, memetik kenyataan anak perempuannya.
Ketua Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra, 39, yang juga bekas perdana menteri dan anak perempuan Taksin berkata, ketua jabatan penjara menugaskan bapanya untuk membantu menyelia operasi pembersihan longkang.
Bapanya kini menjadi banduan di Penjara Pusat Klongprem, Bangkok.
Ahli politik veteran berusia 76 tahun itu dihantar ke penjara pada 9 September lalu selepas Mahkamah Agung memutuskan bahawa tempoh lamanya berada di Hospital Besar Polis, dari Ogos 2023 hingga awal 2024 tidak memenuhi syarat hukuman yang diperintahkan mahkamah.
Kanokwan Jiewchueaphan yang merupakan timbalan jurucakap Jabatan Penjara merangkap ketua Penjara Nonthaburi mengesahkan bahawa Thaksin sendiri menawarkan diri untuk membantu kerja yang memberi manfaat kepada orang ramai.
Sebarang tugasan melibatkan banduan di luar kawasan penjara mesti mematuhi arahan Jabatan Penjara tahun 2023 yang mengawal selia kerja banduan bagi khidmat masyarakat.
Sehingga kini, sama ada Thaksin akan dibenarkan bekerja di luar tembok penjara masih belum dapat dipastikan, lapor portal berita Bangkok Post. – AGENSI