fbpx
Ghirah (cemburu) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar hukum Allah. - Janaan AI

Benarkah boleh bunuh skandal isteri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SALAM, saya ada baca thread pasal isu terkini suami bunuh skandal isteri. Dia tafsir hadis, halal darah kalau suami jumpa isteri tidur dengan lelaki lain. Dalilnya, nabi tak larang bila Saad cakap nak libas dengan pedang kalau nampak isteri tidur dengan orang lain. Betul ke tafsiran hadis itu atau ada penerangan lanjut?

JAWAPAN: KES suami membunuh orang yang dituduh mengganggu rumah tangganya bukan perkara kecil. Ia merupakan satu jenayah pembunuhan yang sangat berat dalam Islam.

Nyawa manusia haram diambil kecuali dengan hak. Perkara ini berdasarkan Firman Allah: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (dibunuh), melainkan dengan suatu (hak) yang benar.” (Surah al-Isra’, 33)

Hadis yang dimaksudkan oleh si penanya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam bab ‘Seseorang yang Melihat Lelaki Lain Bersama Isterinya, Lalu Dia Membunuh Lelaki Tersebut’.

Saad bin Ubadah berkata: “Sekiranya aku melihat seseorang lelaki bersama isteriku, pasti aku akan menetaknya dengan pedang (membunuhnya) tanpa belas kasihan. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: Adakah kamu semua berasa hairan terhadap kecemburuan Saad? Sesungguhnya aku lebih cemburu daripadanya dan Allah SWT lebih cemburu daripadaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bukan satu keizinan atau lesen untuk membunuh tanpa bicara, tetapi menggambarkan tingginya cemburu seorang mukmin terhadap maruah keluarga.

Perkara ini disokong dengan hadis riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Saad bin ‘Ubadah berkata: “Wahai Rasulullah, jika aku mendapati isteriku bersama lelaki lain, adakah aku perlu menunggu sehingga aku membawa empat orang saksi? Lalu Rasulullah SAW bersabda: Ya.” (Riwayat Muslim)

Maka hadis ini menunjukkan bahawa marah atau cemburu sahaja tidak membolehkan seseorang membunuh.

Perlu dibawa ke mahkamah syariah atau hakim untuk dibicarakan. Ini juga bertepatan dengan maqasid Islam yang memerintah untuk menjaga nyawa dan keturunan.

Islam mendidik setiap orang berakal agar sentiasa menggunakan mizan atau neraca pertimbangan yang adil dalam apa jua keadaan menimpa.

Neraca ini bukan sekadar logik akal semata-mata, tetapi mestilah berpaksikan wahyu Allah iaitu al-Quran dan sunah, ijmak, qiyas dan nas dalam agama.

Dengan fiqh al-Mizan, seorang Muslim menimbang antara maslahat dan mafsadah, menilai sesuatu secara menyeluruh, tidak gopoh, tidak berat sebelah serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Inilah neraca yang adil yang menjadikan tindakan manusia selaras dengan kehendak syariat dan hikmah Allah. Meskipun ditimpa dengan pelbagai ujian dan cabaran ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan menguji seseorang melainkan untuk meningkatkan darjatnya kepada yang lebih mulia.

Kesimpulannya, sifat cemburu adalah fitrah mulia, bahkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa Allah SWT lebih cemburu daripada manusia.

Namun begitu, ghirah (cemburu) tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar hukum Allah. Nyawa manusia adalah amanah dan tidak boleh diambil kecuali dengan hak yang jelas menurut syarak.

Sebaliknya, wajib menyerahkan kes itu kepada qadi atau mahkamah syariah dengan pembuktian empat saksi yang adil.

Pandangan para ulama seperti Ibn Abd al-Barr menegaskan bahawa jika seseorang membunuh hanya berdasarkan dakwaannya sendiri, dia tetap dikenakan qisas kerana syarak menutup pintu kezaliman dan menjaga kehormatan nyawa.

Oleh itu, setiap tindakan mesti ditimbang dengan neraca fiqh al-Mizan yang berasaskan wahyu, agar emosi tidak mengatasi hukum dan keadilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI