SEPANG – Malaysia akan meminta bantuan negara-negara sahabat yang mempunyai hubungan diplomatik sekiranya konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza diserang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan mendapatkan bantuan negara sahabat untuk membantu rakyat Malaysia susulan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Oleh kerana kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kita akan minta pertolongan dengan negara berhampiran yang jadi sahabat kita.
“Ia bukan sahaja untuk membantu 34 rakyat Malaysia yang ada di sana, tetapi bantu seluruh 500 ahli rombongan Global Sumud Flotilla untuk menyelamatkan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Sumud Nusantara Command Center di sini tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid turut meluangkan masa hampir 15 minit bersembang secara maya dengan 34 rakyat Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan ke Gaza.
Antara peserta konvoi yang menyertai tele sidang itu termasuklah penyanyi Zizi Kirana dan Heliza Helmi selain aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau turut berhubung dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini berada di New York bagi memaklumkan situasi semasa misi berkenaan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disediakan sekiranya misi berdepan sebarang ancaman.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.
“Pemantauan juga dilakukan secara berterusan oleh badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama media arus perdana dan media sosial bagi memastikan maklumat terkini disalurkan.
“Kita berharap semua pihak memberikan liputan yang baik kepada mereka kerana 34 individu ini merupakan wira dan wirawati yang harus mendapat sokongan seluruh rakyat,” katanya
Katanya, konvoi itu telah berlayar jauh menempuh risiko termasuk serangan bom dan dron serta menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan misi itu yang kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah dalam masa terdekat.
Jelasnya, penyertaan 45 negara dalam flotila itu membuktikan solidariti global terhadap Palestin semakin meningkat, apatah lagi beberapa negara Barat termasuk United Kingdom buat pertama kali mengiktiraf kewujudan negara Palestin selepas lebih 75 tahun menjadi penyokong kuat penubuhan Israel.
“Perubahan pendirian ini adalah sesuatu yang luar biasa. Malah ia memberi isyarat bahawa masyarakat antarabangsa semakin menyedari keperluan memberi keadilan kepada rakyat Palestin yang telah lama ditindas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE