PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat sindiket counter setting untuk memudahkan urusan kemasukan warga Indonesia ke negara ini.
Penguat kuasa yang berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Muar dan Melaka itu ditahan menerusi Op Setting dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM, semalam.
Menurut sumber, kesemua suspek melibatkan 10 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang.
“Berdasarkan siasatan awal, kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta ‘runner’ yang turut ditahan dalam operasi ini.
“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari tahun 2024 hingga awal tahun 2025,” katanya.
Sumber berkata, susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita pelbagai barangan termasuk wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71,000,000 (DM17,918).
Selain itu, rampasan membabitkan kereta jenis Toyota Vellfire serta motosikal jenis Italjet Dragster masing-masing bernilai kira-kira RM115,000 dan RM30,000.
Katanya, SPRM juga telah membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, dua lagi suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman selama enam hari sehingga 29 September manakala 10 suspek lagi direman selama lima hari sehingga 28 September selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pagi tadi. – KOSMO! ONLINE