fbpx
KEBINATSHIPI (tengah) memastikan pingat emas 4x400m Kejohanan Dunia di Tokyo pada Ahad lalu menjadi milik Botswana. - AFP

Cuti umum raikan kejayaan bersejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Kerajaan Botswana mengisytiharkan cuti umum pada 29 September ini bagi meraikan kejayaan bersejarah kuartet lelaki 4×400 meter (m) mereka yang meraih pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Kejayaan itu melakar sejarah tersendiri apabila Botswana menjadi negara benua Afrika pertama menjuarai acara berganti-ganti 4x400m lelaki di pentas Kejohanan Dunia.

Busang Collen Kebinatshipi muncul wira selepas melakukan larian penutup cemerlang dalam keadaan hujan lebat untuk menewaskan Amerika Syarikat dan Afrika Selatan dalam final yang cukup mendebarkan.

Lebih manis, Kebinatshipi sebelum ini turut memenangi emas acara 400m individu sekali gus menjadikannya antara atlet paling cemerlang kejohanan kali ini.

Presiden Botswana, Duma Gideon Boko mengumumkan cuti umum itu sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan negara itu sebagai penghormatan kepada barisan atlet mereka yang berjuang habis-habisan untuk membutirkan pingat emas.

“Berlian semula jadi Botswana bukan hanya di dalam tanah, tetapi juga pada atlet juara dunia kita,” katanya.

Skuad emas itu turut dibarisi pemenang pingat emas acara 200m Sukan Olimpik Tokyo 2020, Letsile Tebogo bersama-sama Lee Bhekempilo Eppie dan Bayapo Ndori yang beraksi konsisten sepanjang kejohanan.

Tahun lalu, Tebogo menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat Botswana dalam acara 200m di Paris yang turut diraikan dengan cuti setengah hari di seluruh negara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI