SEMPENA meraikan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun, permainan video mudah alih PUBG Mobile Malaysia dengan kumpulan pemuzik terkenal, Masdo menganjurkan perjumpaan komuniti dalam acara penuh meriah dikenali sebagai ‘Perang Suara’ baru-baru ini.
Berlangsung pada 14 September lalu di PADDOCK PJ, Petaling Jaya, acara tersebut merupakan acara eksklusif yang menggabungkan dunia permainan e-sukan penuh debaran dengan irama muzik secara live.
Untuk makluman, PUBG Mobile ialah permainan video mudah alih genre battle royale yang dibangunkan oleh Tencent Games berdasarkan permainan asal PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) di PC/console.
Konsep permainan adalah seramai 100 pemain akan diterjunkan ke sebuah pulau melalui kapal terbang. Pemain perlu mencari senjata, pakaian pelindung dan bekalan untuk bertahan.
Zon permainan akan semakin mengecil, memaksa pemain bertemu antara satu sama lain.
Pemenang ialah pemain terakhir atau pasukan terakhir yang masih hidup (Winner Winner Chicken Dinner).
PUBG Mobile sangat popular di seluruh dunia, termasuk Malaysia, malah turut mempunyai liga e-sukan rasmi seperti PUBG Mobile Global Championship (PMGC).
Pengurus Pemasaran PUBG Mobile Malaysia, Izati Hashim berkata, acara tersebut menjadi simbolik yang menyatukan permainan dan muzik dalam sebuah acara komuniti.
“Suasana di ‘Perang Suara’ benar-benar dipenuhi dengan tenaga. Ia bukan sekadar tentang permainan atau konsert, tetapi juga adalah tentang meraikan komuniti kita serta persahabatan yang telah terjalin.
“Kami amat berterima kasih kepada rakan kongsi kami di Warner Music Malaysia atas kolaborasi hebat ini dan visi bersama dalam mewujudkan jambatan antara dunia permainan dan muzik.
“Melihat para pemain serta peminat Masdo menyanyi, bersorak serta berhubung antara satu sama lain adalah sesuatu yang amat mengagumkan.

“Acara ini merupakan langkah terbaik untuk menghargai kolaborasi hebat ini dan menyemarakkan semangat perpaduan yang menjadi lambang Hari Malaysia,” kata Izati.
Saat pintu PADDOCK PJ dibuka, peminat daripada komuniti permainan dan muzik teruja menyertai pelbagai acara interaktif yang diadakan.
Antara tarikan utama adalah PUBG MOBILE WOW Funmatch yang memberi peluang kepada peserta meneroka lima peta unik ciptaan pencipta tempatan dalam World of
Wonder sambil menyertai pertandingan persahabatan untuk merebut gelaran juara.
Keterujaan pada acara tersebut diteruskan dengan Cabaran Karaoke yang menghiburkan dan penuh persaingan apabila para peminat berani tampil di pentas untuk menyanyikan lagu kegemaran mereka, dengan kugiran Masdo bertindak sebagai juri sambil memberikan sorakan semangat.
Keseluruhan malam tersebut menjadi bukti kepada komuniti yang penuh semangat dan berwarna-warni yang telah terbina di sekeliling permainan itu dan kugiran Masdo yang cukup berpengaruh. Untuk makluman, Masdo pernah berada di kedudukan No. 1 Spotify bagi penstriman keseluruhan tahun 2023.
Kemuncak malam tersebut adalah apabila Masdo menampilkan persembahan penuh bertenaga. Kugiran yang popular dengan lagu Dinda itu berjaya menggegarkan seluruh lokasi dengan lagu-lagu terhangat mereka yang penuh gaya.
Sambutan luar biasa daripada para penonton membuktikan bahawa kerjasama ini bukan sekadar kolaborasi semata-mata, bahkan merupakan sebuah perayaan sebenar terhadap semangat yang dikongsi bersama.
Dalam acara itu, Masdo turut mempersembahkan lagu Setia Bersamamu yang merupakan lagu kolaborasi mereka bersama PUBG Mobile.
Pemain gitar Masdo, Ali Sariah berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat menjalin kolaborasi bersama PUBG Mobile.
“Sebagai anak tempatan dan kumpulan muzik tempatan, kami sangat berbangga apabila dapat berkolaborasi bersama PUBG Mobile memandangkan game ini dikenali di seluruh pelusuk dunia.
“Kami dihubungi oleh PUBG Mobile ketika mereka mahu melancarkan battleground map baharu yang dinamakan Rondo.
“Sempena pelancaran itu, pihak PUBG Mobile mahu kami hasilkan satu lagu yang mengembalikan nostalgia buat pemain-pemain lama, khususnya yang aktif ketika zaman dunia dilanda pandemik Covid-19, untuk membuat comeback dan bermain dalam map baharu ini,” katanya.
Pemain gitar Masdo, Asmawi pula berkata, memandangkan mereka bukanlah pemain profesional PUBG Mobile, maka saat dilamar game popular itu, mereka berasa gembira namun sedikit gementar.
“Umum mengetahui bahawa permainan PUBG ini sudah mencapai tahap dunia.
“Apabila terlibat dalam kempen ini dan menyertai pertandingan yang dianjurkan, kami belajar banyak perkara dan ia adalah satu dunia baharu buat kami,” katanya.














