PETALING JAYA – Kira-kira 30 buah kereta rosak selepas bumbung Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Pantai Dalam tercabut dan terbang akibat ribut sebelum menghempap kenderaan di kawasan parkir.
Insiden berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang sejak pukul 5 petang termasuk insiden pokok tumbang di Jalan Bangsar.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turun padang meninjau beberapa lokasi terjejas akibat hujan lebat dan ribut petir di sekitar Pantai Dalam.
Sejurus tiba, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai sempat bertemu dengan penduduk setempat bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung bencana tersebut. – KOSMO! ONLINE