PETALING JAYA – Di sebalik kontroversi melibatkan isu ganjaran dan tindakan tatatertib, jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou terus membuktikan fokusnya apabila meraih pingat emas beregu dan gangsa perseorangan pada Kejohanan Antarabangsa Para Badminton di Beijing, China.
Pemain berusia 36 tahun itu menutup saingan dengan kejayaan beregu selepas bergandingan bersama rakan sepasukan dari India, Ruthick Ragupathi sebelum menambah satu lagi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki.
“Bukan keputusan yang saya mahu di sini, tapi saya dapat pengalaman yang tak pernah saya hadapi sebelum ini. Betul, memang tak boleh beraksi dengan baik kalau mental kita tak jelas dan tenang,” tulisnya di Instagram.
Liek Hou mengakui detik sukar itu menjadi pengajaran, namun sokongan daripada rakyat Malaysia menjadi sumber kekuatannya untuk bangkit semula.
“Saya akan bangkit semula selepas ini sebab saya ada ramai rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya di mana saja. Terima kasih banyak kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Kontroversi mengenai isu ganjaran RM60,000 yang belum diterima atlet para negara menjadi perhatian minggu lalu apabila Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengumumkan bakal mengambil tindakan terhadap Liek Hou.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan tiada sebarang penggantungan akan dikenakan ke atas juara Olimpik dua kali itu.
Sebaliknya, Hannah menjelaskan kekeliruan timbul kerana tiada dokumen rasmi mengenai jumlah penajaan dan untuk masa depan, semua ganjaran akan disertakan dokumen rasmi bertulis supaya lebih jelas dan telus.
Dengan kejayaan itu, Liek Hou membuktikan dirinya masih antara sandaran utama skuad para badminton negara menjelang temasya besar akan datang, meskipun berdepan cabaran mental dan kontroversi di luar gelanggang. – KOSMO! ONLINE