PETALING JAYA – Industri lada negara terus berpotensi besar apabila pekebun kecil di Bengoh Resettlement Scheme, Padawan, Sarawak berjaya mengusahakan tanaman itu sehingga menjana pulangan lumayan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sendiri turun padang meninjau kebun milik Singing Bundan di Kampung Rejoi yang kini mempunyai 0.4 hektar ladang lada dengan 800 pokok matang dan tambahan 800 pokok baharu.
“Pokok lada mula berbuah selepas dua tahun ditanam, tetapi mampu bertahan sehingga 10 hingga 15 tahun.
“Dengan harga semasa mencecah RM28,000 satu tan, satu hektar dengan 2,000 pokok berpotensi memberi pulangan besar,” katanya ketika melawat pengusaha lada di Padawan, Sarawak hari ini.
Menurutnya, Malaysia bukan sahaja mengeksport lada hitam dan putih, malah kini meneroka potensi lada untuk produk bukan makanan bagi pasaran lebih luas.
Johari turut menyaksikan demonstrasi aplikasi Dr. Lada, teknologi dron serta hyperspectral yang digunakan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kebun.
“Usaha ini akan memperkukuh penglibatan pekebun kecil dalam memacu industri lada negara serta membuka peluang baharu ke pasaran global,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE