PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di tujuh negeri hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, amaran itu melibatkan Pahang (Raub, Bentong, Kuantan dan Pekan) dan sebahagian Selangor (Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang).
Hujan lebat turut dijangka melanda seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tempoh sama.
“Di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu dan Seremban, manakala Johor pula tertumpu sekitar Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Mersing,” katanya.
MetMalaysia berkata, cuaca sama dilaporkan melanda Sarawak melibatkan Sri Aman (Lubok Antu), Betong (Pusa), Sibu (Sibu dan Selangau), Kapit (Belaga), Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Miri (Telang Usan). – KOSMO! ONLINE