MELAKA – Seorang ibu tunggal lima anak dari Bukit Rambai di sini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Kecemerlangan Usahawan Bimbingan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2025 selepas bangkit daripada kelompok asnaf kepada usahawan berjaya.
Kisah kejayaan Nurrulhuda Rosli, 41, yang mengusahakan restoran Kaklong Western & Pasta wajar dijadikan inspirasi apabila berjaya mengubah nasib keluarga melalui perniagaan hasil sokongan dana zakat MAIM.
Menurutnya, kejayaan itu bermula apabila beliau menerima geran maksimum RM15,000 daripada MAIM pada November tahun lalu, hasil pemilihan selepas mengikuti kursus keusahawanan anjuran agensi berkenaan.
“Alhamdulillah, bermula dari situ saya mampu menambah pekerja, meluaskan operasi perniagaan dan kini memiliki dua cawangan restoran,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi 2025 anjuran MAIM di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Wanita itu berkata, sebelum ini beliau membantu ibunya berniaga kecil-kecilan, namun selepas berhenti kerja di sebuah hotel, beliau nekad memanfaatkan pengalaman dalam bidang hospitaliti untuk memperkenalkan menu masakan barat.
“Syukur alhamdulillah, kini saya ada dua cawangan, di Pantai Puteri yang dibuka awal 2024 dan sebuah lagi di Taman Pantai Menjaya Cheng pada Ogos lalu, dengan 12 pekerja sepenuh masa, saya tak sangka mampu sampai tahap ini,” ujarnya.
Nurrulhuda yang telah bergelar ibu tunggal sejak lebih 14 tahun lalu tinggal bersama ibunya, Asiah Ismail, 66, yang banyak membantu menjaga kebajikan lima anaknya berusia antara 11 hingga 16 tahun. – KOSMO! ONLINE