fbpx
PEARLY (kanan) dan Thinaah mengalami nasib lama seperti edisi tahun lalu apabila terkandas di suku akhir China Masters.

Penat punca Pearly-Thinaah tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton China Masters yang berlangsung di Shenzhen apabila tersekat di suku akhir.

Pada perlawanan di Shenzhen Arena kelmarin, naib juara dunia 2025 itu berjuang hingga ke titisan peluh terakhir sebelum tewas 21-23, 19-21, 20-22 kepada Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan.

Beraksi dalam perlawanan yang memakan masa lebih sejam, kedua-dua gandingan dilihat sudah mengerah segala kudrat dan hanya bergantung kepada kekuatan mental untuk terus bertahan di dalam gelanggang.

Perkara itu diakui sendiri Pearly yang menyifatkan hanya kekuatan mental memberi keazaman kepada mereka untuk terus berdiri dan memberikan tentangan kepada pasangan No. 7 dunia berkenaan.

“Perlawanan hari ini (kelmarin) sebenarnya lebih kepada ketahanan mental kerana dari segi fizikal, semua orang sudah penat. Kekuatan mental yang membantu kami untuk terus bertahan dalam gelanggang.

“Bagaimanapun, kami melakukan kesilapan pada penghujung perlawanan, mungkin terlalu gopoh bagi mendapatkan kemenangan. Kami perlu bincang lagi apa yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menerusi kekalahan tersebut, gandingan No. 2 dunia itu terus tersekat di suku akhir apabila turut mengalami nasib sama edisi tahun lalu di mana mereka tewas kepada beregu tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah memiliki satu gelaran musim ini dengan memenangi Terbuka Thailand pada Mei lalu selain muncul naib juara beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Dunia di Paris, Perancis baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN