KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. telah menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H anjuran Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan pagi tadi.
Ketua Kontinjen Andalusia, Khairul Sani Zambri berkata, seramai 52 orang kakitangan Andalusia cawangan ibu pejabat telah menyertai perarakan yang bermula kira-kira pukul 7.45 pagi.
Jelasnya, kira-kira 10 kontinjen yang menyertai perarakan tersebut termasuk persatuan penduduk, kariah masjid dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar kawasan Kampung Pandan.
“Ini kali pertama Andalusia menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul dan objektif utama kita adalah untuk mengukuhkan ukhwah bersama kariah masjid serta penduduk setempat.
“Perarakan ini juga melibatkan pertandingan yang mana pemenang pada hari ini akan mewakili masjid ini (Masjid Ar Rahimah) ke pertandingan bagi Zon 3 anjuran Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah) Persekutuan pada 27 September ini di Dataran Merdeka,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Khairul Sani memberitahu, pertandingan perarakan Maulidur Rasul itu telah dimenangi oleh kontinjen daripada Madrasah Kampung Pandan dan sekali gus akan mewakili kariah itu ke pertandingan pada 27 September nanti.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Ar Rahimah, Mohd Shah Hasim memberitahu, selain perarakan, aktiviti sampingan lain turut diadakan termasuk program berendoi bayi.
“Terdapat enam bayi yang akan menyeratai program itu hari ini. Kita juga menganjurkan program qasidah serta penyampaian sumbangan kepada asnaf oleh Bank Rakyat cawangan Kampung Pandan.
“Pada sebelah malam pula, kita akan menganjurkan forum khas sempena Maulidur Rasul,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE