KUALA LUMPUR – Beberapa jalan utama di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup dan dilencongkan sementara bagi memberi laluan kepada acara larian Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR) – Road to Visit Malaysia 2026 sempena sambutan Hari Malaysia, esok.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, acara yang dijangka menghimpunkan lebih 15,000 peserta itu akan bermula pukul 3 petang di hadapan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Jalan Ampang.
“Penutupan dan lencongan jalan bermula pukul 2.30 petang dan dibuka secara berperingkat sehingga selesai sepenuhnya pukul 8 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, antara laluan yang terlibat ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Kia Peng, Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
“Ia turut melibatkan sebahagian Jalan Ampang dari arah Jalan Tun Razak menghala ke KLCC dan Lembaga Getah Malaysia ke Jalan Tun Razak,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan bagi mengelakkan gangguan trafik sepanjang acara berlangsung.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan JSPT KL di 03-2071 9999, melayari Facebook JSPT KL atau hadir ke balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE