fbpx
Azlinda bercakap ketika Sidang Media Khas Berkenaan Isu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Anak tempatan tidak dianaktirikan masuk ke universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pelajar tempatan akan terus diberi keutamaan, malah tidak pernah dianaktirikan dalam isu kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyifatkan KPT gagal mendahului kepentingan rakyat tempatan dalam isu pendidikan tinggi adalah tidak berasas.

“Kita juga tertanya-tanya mengapa perkara ini dipersoalkan, lebih-lebih lagi oleh seorang mantan (naib canselor universiti) yang seharusnya faham bagaimana universiti beroperasi, termasuk peratusan kemasukan pelajar tempatan berbanding antarabangsa.

“Kita sangat menjaga kepentingan anak-anak tempatan dan tidak pernah sekalipun terlintas untuk menganaktirikan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Invovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan kegagalan KPT dalam isu itu menyebabkan berlakunya ‘tragedi bangsa’.

Mengulas lanjut, Azlinda berkata, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga tidak akan mengabaikan peluang dan akses pendidikan kepada anak tempatan.

“Kemasukan pelajar antarabangsa ke peringkat pasca-siswazah meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan ranking.

“Sehingga kini, Universiti Malaya berada pada kedudukan 58 terbaik dunia, manakala empat universiti penyelidikan lain berada antara 126 hingga 153 terbaik dunia (QS Ranking).

“Di peringkat ASEAN pula, lima universiti tanah air berada dalam kelompok 10 Universiti terbaik di ASEAN, menunjukkan sistem pendidikan dan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi berada di landasan yang tepat,” katanya.

Mengulas mengenai bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa di lima universiti penyelidikan, Azlinda berkata, terdapat seramai 180,024 orang setakat 31 Disember 2024.

“Bagi prasiswazah merangkumi sijil, diploma, ijazah dan ijazah sarjana muda, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tempatan.

“Untuk rekod di lima universiti penyelidikan, jumlah pelajar tempatan adalah sebanyak 91.6 peratus, manakala pelajar antarabangsa 8.4 peratus.

“Pelajar di peringkat pra-siswazah pula, fokus utama kepada program ijazah sarjana muda dan subsidi disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak tempatan,” katanya.

Bagi pasca-siswazah yang merangkumi ijazah sarjana dan kedoktoran, ia bersifat terbuka dan tiada had kemasukan pelajar antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN