MANCHESTER – Tiada hamparan ‘karpet merah’ atau pun layanan istimewa bakal diberikan oleh Manchester City untuk bekas kapten mereka, Kevin De Bruyne yang akan mengetuai Napoli pada aksi Liga Juara-Juara di Etihad, awal pagi esok.
Bintang The Citizens, Jeremy Doku menegaskan tidak ada istilah belas ihsan akan diberikan kepada De Bruyne sepanjang perlawanan walaupun pemain itu sudah digelar legenda The Citizens.
Perhitungan ini pasti menjadi aksi yang akan diwarnai situasi penuh emosi khususnya untuk menyambut kepulangan semula De Bruyne sebagai pemain pasukan lawan, namun skuad kendalian Pep Guardiola itu sedar segala nostalgia harus diketepikan seketika.
“Saya rasa dia (De Bruyne) pasti berasa gembira untuk kembali pulang ke Etihad. Namun, pada dasarnya kami tidak akan menunjukkan sebarang belas ihsan kepadanya.
“Ini kerana kami mahu memenangi setiap perlawanan. Saya harap dia akan menikmati setiap detik berada di Etihad dan kami kini perlu bersiap sedia untuk berdepan Napoli,” kata Doku.
Sebelum ini, De Bruyne yang dikenali sebagai nadi utama Manchester City ambil keputusan berhijrah ke Itali pada musim panas kali ini dan kini mula dilabel sebagai individu penting kepada Napoli.
Guardiola juga sudah memberikan amaran kepada pemainnya supaya mengelak daripada terperangkap dengan emosi memandangkan Liga Juara-Juara adalah salah satu daripada keutamaan pasukan musim ini. – AGENSI