KUANTAN – Kebanyakan peneroka Felda Bukit Goh di sini, menegaskan mereka bukannya tamak tetapi lebih banyak memikirkan mengenai masa depan dan survival berhubung cadangan pembangunan di kawasan penempatan itu.
Generasi kedua, Jefri Salim berkata, semua peneroka hilang punca pendapatan dan hanya mengharapkan kerja luar selepas kawasan itu terbiar susulan isu perlombongan bauksit sejak 10 tahun lalu.
Katanya, sawit yang masih ada sudah tidak lagi menghasilkan produktiviti, malah ada kawasan yang bersemak sehingga kini tiada penanaman semula.
“Kami bukan tamak tetapi kami mahukah titik noktah di mana hala tuju kami, selama ini kami hilang pendapatan ladang dan hanya mengharapkan kerja luar.
“Sampai bila ladang-ladang ini dibiar begitu sahaja, jadi kami mahu satu kata putus daripada pihak berkuasa terbabit bagi menentukan hala tuju Felda Bukit Goh dalam tahun ini juga,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan Peneroka Felda Bukit Goh di sini bakal menjadi jutawan berdasarkan kepada pelbagai cadangan dan tawaran pembangunan yang dirancang di kawasan itu.
Jika kata sepakat dicapai, mereka bakal mengikut jejak kumpulan peneroka Felda di Sendayan, LBJ, Cahaya Baru dan Bukit Cherakah yang menjadi jutawan segera selepas menerima bayaran lumayan antara RM1.2 juta hingga RM1.5 juta hasil pembangunan tanah mereka.
Menurut Jefri, sebelum ini sudah dua bancian dilakukan, namun tiada apa-apa keputusan untuk memajukan kawasan itu.
Tambahnya, dia berharap borang kaji selidik terbaharu yang diedarkan kepada penduduk minggu lalu itu akan menghasilkan satu keputusan dalam memajukan lagi kawasan tanah rancangan berkenaan.
Seorang lagi generasi kedua felda, Zizan berkata, dia menyerahkan kepada adik-beradiknya untuk membuat keputusan dalam menentukan hala tuju tanah berkenaan.
Penjawat awam di Kuantan itu berkata, keputusan mengenai hala tuju kawasan itu perlu segera ditentukan bagi memastikan peneroka dan waris mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
“Bagi saya buat sahaja apa sahaja keputusan, jangan terus tanah itu dibiarkan tanpa menghasilkan apa-apa pendapatan kepada peneroka, saya harap kerajaan negeri dapat membantu dalam perkara ini,” katanya.














