fbpx
MAZDA CX-60 2025 dilancarkan baru-baru ini untuk pasaran Malaysia pada awal bulan ini.

CX-60 SUV crossover ‘berotot’ dengan kawalan postur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA automotif dari Jepun, Mazda tidak pernah berhenti mengangkat falsafah reka bentuk Kodo ‘Soul of Motion sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu.

Evolusi terbaharu Kodo dibawa pada model Mazda CX-60 dengan konsep ‘Noble Toughness’ iaitu gabungan kehalusan seni Jepun dengan ketahanan pada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) moden.

Bermaz Auto selaku pengedar Mazda di Malaysia secara rasmi telah melancarkan model serba baharu pertama dari kumpulan Mazda Large Product, Mazda CX-60 2025 untuk pasaran tempatan pada awal bulan ini.

Hanya satu varian ditawarkan iaitu 2.5 High yang mana model ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk dari Jepun pada harga RM200,510 atas jalan raya tanpa insurans.

SUV crossover premium ini berdimensi panjang 4,740 (mm), lebar 1,890mm dan tinggi 1,680mm dengan jarak roda 2,870mm.

Reka bentuknya yang tegap dan dinamik memberi gambaran garang namun elegan, dengan gril hadapan besar menegak yang diserlahkan menerusi signatur sayap Mazda.

Identiti lampu LED berbentuk L di depan dan belakang pula menjadi bahasa rekaan baharu yang pertama kali muncul pada model ini.

jentera bersaiz besar ini direka untuk membentuk ketahanan yang jitu berkonsepkan ‘Noble Toughness’ khususnya menerusi teknologi kawalan postur KPC.

Garis sisi yang halus tetapi berotot, dipadankan dengan bonet panjang dan kabin yang boleh ditolak ke belakang, menjadikan CX-60 kelihatan seimbang antara elegan dan berkuasa.

Di sebalik rekaan menawan, CX-60 dibina di atas platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture yang juga direka untuk menampung elektrifikasi akan datang dan memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat.

Jentera ini dipacu enjin Skyactiv-G 2.5 liter Naturally-aspirated empat silinder yang menjana kuasa 189hp dengan tork maksimum 261Nm.

CX-60 mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa hanya 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 203km/j.

Kuasa disalurkan ke roda belakang (RWD) melalui transmisi baharu automatik lapan kelajuan torque converter untuk memberikan kuasa pecutan yang responsif.

Ia satu langkah besar kerana SUV Mazda sebelum ini seperti CX-5 atau CX-30 menggunakan pacuan hadapan (FWD).

RWD memberikan dinamik pengendalian yang lebih sporty dan selari dengan aspirasi premium.

Sementara sistem suspensi double wishbone di depan dan multilink di belakang bersama teknologi kawalan postur Kinematic Posture Control (KPC) memastikan kestabilan optimum ketika mengambil selekoh tajam atau menukar lorong pada kelajuan tinggi.

Ruangan dalamannya yang tampak mewah dan kemas.

CX-60 tampil dengan kapasiti ruang kargo yang sangat kompetitif 477 liter dan boleh diluaskan sehingga 1,726 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Meninjau ke ruangan kabin, CX-60 menampil falsafah kraf Jepun dengan gabungan material semula jadi bersama teknologi moden.

Bahan premium seperti kulit, kayu maple dan aksen krom digunakan untuk mewujudkan suasana tenang, harmoni dan mewah dengan bumbung panaromik.

Antara kelengkapan yang disediakan ialah kluster digital berukuran 12.3 inci, sistem infotainment skrin sentuh dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Selain itu, ia dilengkapi dengan sistem head-up display (HUD), sistem audio Bose 12 speaker, pengecas tanpa wayar dan tempat duduk larasan automatik.

Ciri menarik lain ialah kawalan iklim dua zon termasuk corong udara untuk tempat duduk belakang dan bukaan but belakang secara automatik.

Dengan ciri-ciri yang ditawarkan, SUV ini memberi saingan yang sengit kepada model premium lain seperti Mercedes-Benz GLC, BMW X3 dan Audi Q5.

Dari segi aspek keselamatan, CX-60 menampilkan rangkaian lengkap ciri keselamatan aktif i-Activsense termasuk Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).

Terdapat juga kamera 360 darjah dengan ‘pandangan lutsinar’, amaran lintasan trafik depan dan belakang, peringatan keletihan pemandu dan sebagainya.

Kesimpulannya, CX-60 sebuah SUV premium era terkini yang direka atas platform yang mempunyai potensi elektrifikasi masa depan dan memenuhi keperluan bagi kenderaan hijau.

Platform canggih ini menyokong teknologi inovatif yang meningkatkan dinamik pemanduan sambil mengukuhkan komitmen Mazda terhadap kelestarian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN