fbpx
Noor Zailizan (kiri) memantau anaknya, Nor Erika Elysha masih terlantar di rumahnya di Kampung Alor Belanga, Besut semalam.

‘Biarpun sedih, saya tetap mahu genggam ijazah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Meskipun masih dalam fasa pemulihan akibat kece­deraan parah, Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, tekad kembali bangkit meneruskan pengajian demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik.

Dia yang terselamat dalam nahas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak itu berkata, tragedi berlaku tiga bulan lalu telah mengubah kehidupanya seratus peratus.

“Saya ketika ini masih memerlukan bantuan terutama daripada keluarga untuk bergerak dan menguruskan diri.

“Begitupun saya tetap gagahkan diri mengikuti pembelajaran secara dalam talian di rumah bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Alor Belanga di sini semalam.

Dia antara 42 pelajar UPSI yang terbabit dalam nahas bas persiaran meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, pada Jun lalu.

Nor Erika Elysha mengakui pada mulanya dia agak sukar untuk mengikut kelas dalam talian dalam keadaan fizikalnya yang masih belum sembuh.

Katanya, dia juga tidak mahu larut dalam emosi kesedihan malah bertekad mahu menamatkan pengajian sekaligus menggenggam segulung ijazah.

“Saya mahu terus menumpukan perhatian terhadap pengajian yang masih berbaki, dengan harapan dapat mencapai cita-cita sebagai guru Pendidikan Islam. Alhamdulillah, keluarga dan rakan-rakan banyak mendorong saya menjalani fisioterapi pemulihan,” katanya.

Sementara itu, ibu Nor Erika Elysha, Noor Zailizan Zakaria, 41, berkata, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa memberi sokongan moral terhadap anak sulungnya itu.

“Kami tidak mahu dia (Nor Erika Elysha) terus tenggelam dalam kesedihan dengan ujian yang dilalui. Dia memang masih trauma tetapi insya-Allah masa akan menjadi penyembuh dengan cita-citanya terus tergapai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN