fbpx
Satu daripada bot yang membawa sukarelawan misi GSF berlayar ke Gaza dari Barcelona, Sepanyol baru-baru ini. – Foto AFP

Sumud Flotilla: Kapal Fair Lady berlepas ke Gaza hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kapal Fair Lady yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali dijadualkan berlepas ke Gaza, hari ini selepas tiga kali penangguhan.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia (MCM), Tuan Asri Tuan Hussein berkata, kapal berkenaan dijangka meninggalkan pelabuhan di Catania sebaik penganjur memuktamadkan senarai penumpang.

“Setakat pukul 8 pagi (waktu tempatan semalam), sebahagian peserta, termasuk rakan sebilik saya, Ahmad Safuan Ujar yang juga Setiausaha Agung MCM, masih belum menerima mesej pengesahan.

“Jika tidak menerima mesej itu, bermakna mereka tidak terpilih menyertai pelayaran GSF ke Gaza,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.

Menurutnya, pengesahan penyertaan lazimnya dilakukan melalui mesej peribadi yang menyatakan nama penumpang bot masing-masing, namun proses itu memakan masa kerana penganjur perlu meneliti beberapa perubahan.

“Walaupun nama saya tersenarai sebagai penumpang Fair Lady, debaran belum hilang kerana proses kemas kini masih berlaku. Ini bermakna ada kemungkinan saya ditukarkan ke bot lain atau terkeluar terus daripada senarai,” katanya.

Tuan Asri memaklumkan kira-kira 14 sukarelawan dari Malaysia dan lebih 100 peserta antarabangsa kini menunggu arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza.

“Mudah-mudahan kami semua dapat belayar hari ini dan bergabung dengan flotilla lain dari Barcelona dan Tunisia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, wartawan bebas, ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad, menghadapi cabaran baharu apabila beliau dan anak perempuannya yang bertindak sebagai jurukamera disenaraikan dalam bot berasingan.

“Keadaan itu boleh menyukarkan tugasnya, namun beliau tetap berlapang dada dan menganggap cabaran ini sebahagian daripada misi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI