fbpx
Umar terlibat dalam sukan taekwondo sejak berusia tujuh tahun.

Umar impi bertanding taekwondo di Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAEKWONDO merupakan satu seni mempertahankan diri dari Korea yang terkenal dengan teknik tendangan, pukulan pantas serta gerakan fleksibel.

Ia bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah membantu membentuk disiplin, fokus dan ketahanan mental.

Itulah antara pendorong utama Umar Dini Rosdi Izam, 15, terlibat dalam sukan tersebut seawal usia kanak-kanak bersama adiknya, Yusuf Dini.

Remaja tersebut memaklumkan, pada mulanya, dia sangat meminati bola sepak, namun nasihat ibunya membuatkan dia memilih sukan bersifat indoor itu.

“Saya meminati aktiviti luar seperti bola sepak, tetapi faktor cuaca dan nasihat ibu mendorong saya memilih taekwondo.

“Selain itu, ibu saya mahu anak-anaknya lebih aktif dan tidak bermain gajet semata-mata. Jadi, taekwondo merupakan pilihan ideal buat saya dan adik,” katanya.

Walaupun baru berusia tujuh tahun pada ketika itu, namun anak sulung daripada lima beradik itu sudah memberanikan diri menyertai kategori sparring (kyorugi).

Ada kalanya, dia mengalami kecederaan akibat ditendang pihak lawan pada bahagian betis ketika bertanding.

Namun, semangat dan dorongan daripada bapanya membuatkan dia tidak mudah mengalah.

Tahun 2018 menjadi titik penting dalam perjalanan Umar sebagai atlet taekwondo apabila menjuarai Gewinn International Invitational Network (GEWIIN) di Negeri Sembilan dalam kategori Bantam.

Pada aksi final, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka itu menewaskan atlet dari Kanada selepas enam perlawanan sengit.

Kongsi Umar, kemenangan itu bukan sahaja membolehkannya membawa pulang pingat emas, malah hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

“Pengalaman di GEWIIN paling tidak dapat dilupakan kerana kejayaan itu membuktikan bahawa persiapan rapi cukup penting.

“Saya melakukan latihan bersama bapa dan jurulatih selama empat bulan sebelum kejohanan.

“Latihan itu membantu saya untuk kekal fokus dan berkeyakinan ketika berdepan lawan-lawan hebat,” katanya.

Mengulas berkenaan rutin harian, Umar memberitahu, dia dan adiknya akan berjoging seawal pukul 5 pagi, diikuti sesi latihan bersama bapa mereka selama dua jam pada waktu petang.

Latihan yang konsisten itu bertujuan memastikan stamina dan keyakinan Umar terus terasah, sekali gus membolehkannya memenangi pelbagai kejohanan ketika zaman sekolah rendah.

Selepas memasuki alam sekolah menengah, Umar terus mengekalkan prestasi cemerlang di Kejohanan INTERMRSM Kebangsaan 2024 apabila berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara poomsae (gerakan).

Lebih membanggakan, acara poomsae merupakan kategori baharu bagi dirinya kerana sebelum ini hanya memberi fokus kepada disiplin sparring.

Sementara itu, penyertaan pada Karnival Bakat Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan membolehkan Umar berdepan atlet-atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan kebangsaan.

Walaupun berdepan jadual sekolah dan latihan yang padat, namun Umar bijak membahagikan masa.

Malah, dia berjanji untuk memberi perhatian sepenuhnya pada taekwondo selepas peperiksaan besar kelak.

Hal ini kerana Umar menyimpan hasrat untuk mewakili Melaka dalam Sukma pada suatu hari nanti.

Umar turut menyarankan agar golongan remaja menyertai sukan taekwondo kerana mampu membentuk jati diri, disiplin dan mengajar semangat kesukanan.

“Selain membentuk jati diri dan disiplin, taekwondo juga meningkatkan keyakinan diri serta ketahanan mental.

“Selain itu, hubungan rapat dengan jurulatih dan rakan sepasukan mampu membina rasa kebersamaan ketika menghadapi cabaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN