GT tergolong dalam famili ikan trevally atau jack (Carangidae) dengan nama saintifiknya (Caranx ignobilis). Ia turut dikenali dengan pelbagai nama lain mengikut lokaliti seperti ulua’ di Hawaii.
Ikan ini pertama kali diklasifikasikan secara saintifik pada tahun 1775 oleh seorang saintis dari Sweden, Peter Forsskal daripada spesimen ditangkap di Yemen.
Ikan GT ini boleh ditemui di hampir kesemua perairan tropika seperti di wilayah Indo-Pasifik, dari Afrika Selatan hinggalah ke Hawaii. Jajaran ini termasuklah di negara-negara Teluk, India, Sri Lanka, Maldives, Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun dan Australia.
GT dapat dikenali dengan profil kepalanya yang besar dan mencuram, bukaan mulut besar, badan lebar dan mempunyai sisik keras di bahagian ekor. Warnanya keperakan berkilauan dengan tompok-tompok hitam. Namun, ikan jantan boleh berubah menjadi hitam sepenuhnya apabila matang.
Ia merupakan ikan terbesar dalam genus Caranx dengan saiz maksimum yang diketahui boleh mencecah 170 sentimeter (sm) (67 inci) dan mencapai berat sehingga 80 kilogram (176 lb).
Ikan ini boleh hidup di dalam pelbagai jenis perairan seperti estuari, pesisir pantai, pinggir terumbu karang, alur laut yang dalam dan kawasan cerunan (drop-off).
GT juga terkenal dengan menyerang mangsanya secara berkumpulan. Kebiasaannya, lebih besar saiz GT, maka kuranglah bilangannya dalam kumpulan. Sesetengah GT saiz monster hanya hidup dua hingga empat ekor dalam satu kumpulan atau seekor sahaja pada satu-satu masa.
Ikan GT ini ketahui memilih musim pembiakannya ketika suhu air laut panas. Ketika itu, ia akan berkumpul dalam bilangan banyak di pinggir terumbu yang terdapat kawasan drop-off dalam. Ia membesar dalam kadar yang cepat dan dapat mencapai saiz matang, 60 sm dalam masa tiga tahun.

Sejarah popping GT
Dikatakan, aktiviti popping ikan GT bermula di Indo-Pasifik pada pertengahan abad ke-20. Ketika itu, pemancing bereksperimen menggunakan gewang kayu buatan tangan. Malangnya, peralatan asas seperti joran, kekili dan tali kurang sesuai untuk menahan benaman GT saiz besar.
Kemudian, di era 1980 hingga 90-an, pemancing di Australia seperti adik-beradik Barry dan John Cross memperhalusi teknik popping dengan membuat popper sendiri, sebelum mengujinya dengan peralatan memancing kelas berat.
Sukan big game popping GT ini berkembang dan mendapat perhatian pengeluar barangan pancing seperti Shimano dan Daiwa yang telah membangunkan peralatan popping lebih ampuh, ringan, kuat serta efisien.
Ini membuatkan sukan itu bertambah berkembang pesat dengan ramai pemancing mencubanya di serata dunia sehingga menimbulkan lokasi-lokasi baharu untuk popping GT
Kini, popping GT menjadi cabang khusus dalam sukan memancing dengan teknik canggih menggunakan peralatan lebih tahan lasak.
Misalnya, joran boleh melontar jauh, popper besar dan berat, kekili dengan drag padu, mainline serta shock leader kuat untuk menahan asakan GT supaya pemancing tidak dibuli begitu sahaja.
Rekod dunia International Game Fish Association (IGFA) All-Tackle untuk GT adalah 160 lb (72.8 kg) yang dipancing oleh Keiki Hamasaki di Kepulauan Tokara, Jepun pada 22 Mei 2006.
Ikan tersebut dipancing di pesisir pantai menggunakan gewang saiz besar, dan mengambil masa hampir 35 minit untuk didaratkan.
Ikan GT saiz kecil bawah dua kilogram selalu dijadikan hidangan, namun tidak bagi yang bersaiz mega.
Hal ini kerana dikhuatiri isinya mengandungi racun ciguatera bagi sesetengah perairan terutamanya di Australia. Jadi, ramai pemancing memilih untuk melepaskan ikan ini sebaik dipancing dan didaratkan.














