fbpx
PANG RON (kanan) dan Su Yin perlu mengekalkan prestasi seperti dipamerkan di Kejohanan Dunia baru-baru ini.

Pang Ron-Su Yin perlu kekal prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin digesa supaya mengekalkan prestasi sama seperti ditampilkan di Kejohanan Badminton Dunia menjelang pusingan pertama Terbuka Hong Kong esok.

Gandingan No. 14 dunia itu dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua apabila dijadualkan menentang pemain tidak ternama dari Ukraine, Oleksii Titov-Yevheniia Kantemyr.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengakui prestasi dua anak buahnya itu sudah semakin hampir ke tahap terbaik selepas melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris baru-baru ini.

Justeru, beliau berharap Pang Ron-Su Yin dapat mengekalkan aksi seperti itu dalam kejohanan-kejohanan akan datang selain turut meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

“Mengenai Pang Ron dan Su Yin, saya harap mereka boleh kembali menampilkan aksi seperti dahulu. Sebelum ini, mereka bermain sangat bebas dan tidak ada sebarang tekanan, jadi aksinya memang baik.

“Ketika di Kejohanan Dunia, saya nampak permainan mereka sudah mula kembali. Oleh itu, saya harap mereka boleh konsisten dengan aksi seperti itu ataupun mungkin boleh lebih baik lagi,” katanya.

Pada Kejohanan Dunia di bumi Perancis yang lalu, Pang Ron-Su Yin melangkah sehingga ke suku akhir sebelum tewas kepada pilihan kedua, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang kemudiannya menjadi naib juara.

Sementara itu, Nova turut menganggap kejayaan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjadi juara dunia sebelum ini menjadi pembakar semangat buat pemain-pemain lain.

“Memang boleh kata begitu kerana apabila kita ada juara dunia, bermakna sudah penanda aras di situ. Jadi, pemain-pemain di bawah ini akan terikut-ikut dan menjadi satu motivasi buat mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI