RAUB – Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh untuk bertemu adiknya di tapak pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kuala Atok, Dong, di sini, berakhir dengan tragedi apabila dia maut dipanah petir, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Md Shahangir, 37, yang datang dari Kuala Lumpur sejak kelmarin, dikatakan sedang berjalan kaki dari rumah kongsi menuju ke kawasan tapak pembinaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa terkena panahan petir ketika ingin mencari adiknya yang sedang bekerja di lokasi tersebut.
“Mangsa dipanah petir ketika berjalan kaki di antara rumah kongsi ke tapak pembinaan lebuh raya terbabit untuk bertemu adiknya yang sedang bekerja di situ
“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kiri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Benta. Namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














