PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terkejut apabila ditanya tentang beliau dicadang menjadi Menteri Pendidikan.
Katanya, soalan itu dikemukakan oleh seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu ketika beliau melakukan lawatan ke MRSM tersebut di Sabah pagi kelmarin.
“Apa pendapat Sir (Asyraf Wajdi) kecoh dalam kalangan warga netizen Sir dicadangkan jadi Menteri Pendidikan? Terkejut saya bila ada pelajar MRSM Kota Kinabalu bangun bertanya.
“Kamu sokong tidak cadangan ini? Tanya saya secara bergurau. Tidak. Kami mahu ‘Daddy Mara’ kami jaga kami sudah. Jawab pelajar-pelajar satu dewan serentak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau teruja melihat kemeriahan pelajar MRSM Kota Kinabalu menantikan kehadirannya untuk ‘menerjah’ MRSM mereka.
Menurut beliau, pelajar terbabit seolah-olah tahu kedatangannya untuk memberikan nasihat berkenaan Kempen Sifar Buli.
“Kebetulan MRSM ini terletak bersebelahan Sekolah Menengah Agama lokasi berlakunya tragedi kematian arwah Zara Qairina Mahathir yang terkait dengan isu buli,” katanya.
Pengerusi Mara itu menjelaskan, beliau pernah ke MRSM dua tahun lalu apabila menerima aduan masalah air daripada ibu bapa dan pelajar.
“Sebenarnya masalah air isu seluruh Sabah, namun saya meluluskan peruntukan segera RM100,000 untuk membina tangki tambahan sebagai langkah mengurangkan kesan masalah tersebut.
“Alhamdulillah kelmarin sempat melihat perkembangan positif projek-projek penambahbaikan prasarana termasuk menyelesaikan tangga yang curam yang diluluskan dahulu,” katanya.
Tambahnya, beliau juga sempat mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar termasuk pelajar Tingkatan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, lebih menarik walaupun hampir 50 peratus pelajarnya bumiputera bukan Islam, mereka ‘menjerit’ supaya beliau ‘tebuk’ hafazan pelajar Islam ketika beliau memberikan ucapan.
“Walaupun hanya sempat bersama kira-kira tiga jam sebelum ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur, hati saya cukup seronok melihat wajah anak-anak yang begitu bersemangat, ceria dan riang dengan kehadiran saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE