KARAKTER pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara makin terserlah menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia B-23 2026 menentang Lebanon di Stadium Thammasat, Bangkok petang esok
Pengendali B-23 negara, Nafuzi Zain turut menjelaskan keadaan fizikal dan kecergasan pemainnya kini bertambah baik sekali gus beri gambaran positif untuk memburu keputusan positif pada perlawanan pertama.
“Berdasarkan prestasi semasa pemain, masing-masing memiliki fizikal dan kecergasan. Ini pemain terbaik yang mampu membawa cabaran dan saya harap pemain dapat tampil lebih baik berbanding di kejohanan sebelum ini.
“Dari segi pemain, saya nampak semua bersemangat dan karakter mereka positif. Saya harap pemain sentiasa positif dan dapat kekalkan momentum untuk perlawanan pertama nanti.
“Saya harap pemain yang diberikan peluang dapat menggunakan ruang yang diberikan sebaik mungkin kerana kejohanan sebelum ini (Piala ASEAN B-23) kita gagal ke separuh akhir,” katanya.
Selepas aksi dengan Lebanon, skuad negara akan bertemu Mongolia, Sabtu ini sebelum menentang pasukan tuan rumah, Thailand pada 9 September.
Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan. – KOSMO! ONLINE