JOHOR BAHRU – Daerah Mersing dan Muar berisiko dilanda gempa bumi lemah susulan tiga siri gegaran di Segamat pada Ahad lalu dan kelmarin berikutan kedudukannya yang terletak atas garisan Sesar Mersing.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia, Ts. Dr. Mohd. Zamri Ramli, ramalan dibuat berdasarkan kedua-dua daerah itu pernah dilanda gempa pada tahun 1922.
“Sejarah gempa di Johor di sekitar Mersing dan Muar, tetapi tiada justifikasi kuat mengenai lokasi tepat kerana pada masa itu alat pengesanan gempa bumi terhad.
“Apabila ada sejarah, ada kemungkinan berlaku ulangan gempa bumi tetapi bila akan berlaku tidak diketahui,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pada Ahad lalu, Jabatan Meteorologi mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 berlaku pukul 6.13 pagi di Segamat, disusuli gegaran kedua pukul 9 pagi di Yong Peng.
Kelmarin, Segamat bergegar lagi selepas dilanda gempa lemah berukuran 3.2 skala magnitud.
Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, kejadian gempa bumi di Segamat kelmarin dikenali sebagai aftershock.
Aftershock merujuk gegaran susulan yang terjadi apabila kerak bumi masih menyesuaikan diri dengan tekanan dan regangan yang belum dilepaskan sepenuhnya ketika gempa bumi utama.
Gegaran besar akan mengubah keadaan tegasan di sepanjang sesar dan kawasan sekitarnya menyebabkan batuan terus bergerak dan retak kecil berlaku untuk mencapai keseimbangan yang baharu.
“Oleh sebab itu, aftershock boleh berlaku dalam jam, hari, malah berbulan selepas gempa bumi besar, namun dengan magnitud yang biasanya lebih kecil,” katanya.
Kekerapan gempa berlaku kerana kerak bumi sentiasa dalam keadaan tegang akibat pergerakan plat tektonik yang saling menolak, menggeser atau bertindih antara satu sama lain.
Tekanan yang terkumpul itu tidak dilepaskan sekali gus, sebaliknya secara berulang-ulang dalam bentuk gegaran kecil hingga besar di sepanjang zon sesar yang aktif.
“Selain itu, faktor seperti keadaan geologi tempatan, jenis batuan, serta interaksi antara sesar berdekatan turut mempengaruhi kadar kekerapan gempa,” katanya.
Tambahnya, tempoh untuk kembali stabil selepas gempa bergantung kepada magnitud gegaran utama, keadaan geologi setempat serta panjang dan kedalaman sesar yang terlibat.
Ujarnya, secara umum, jika gempa itu besar, proses penyesuaian kerak bumi boleh mengambil masa dari beberapa minggu hingga berbulan-bulan.
“Malah ada kes yang berlanjutan sehingga bertahun dengan aftershock yang makin berkurangan dari segi kekerapan dan kekuatan.
“Prinsip asasnya ialah semakin lama selepas gegaran utama, semakin kecil magnitud dan semakin jarang aftershock berlaku, menandakan kerak bumi beransur mencapai keseimbangan baharu,” katanya. -KOSMO! ONLINE














