BALIK PULAU – Guru wanita yang cedera pada leher akibat dikelar suaminya dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, semalam sudah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata, mangsa berusia 28 tahun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa berhubung kejadian berlaku dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Menurut beliau, keadaan suami mangsa yang juga suspek utama turut dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HPP.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang guru wanita dilaporkan cedera dipercayai akibat dikelar suami menggunakan sebilah pisau sebelum lelaki itu nekad mengelar dirinya sendiri menggunakan senjata sama, yang diambil dari dapur.
Insiden tersebut disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari bilik atas kediaman dua tingkat di Taman Tunas Muda, Sungai Ara. Suspek dikatakan bertindak menindih isterinya di atas katil sebelum cuba mengelar leher wanita itu. – KOSMO! ONLINE