SEGAMAT – Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama di daerah ini susulan gempa bumi yang berlaku pada pukul 8.59 pagi tadi di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemantauan itu bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama.
“Pihak Petronas juga akan menghantar laporan keadaan aset dan fasiliti mereka di dalam radius terlibat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati, jauhi kawasan atau bangunan tinggi buat sementara waktu, serta peka kepada sebarang arahan pihak berkuasa.
Ujar beliau, keselamatan keluarga dan orang sekeliling harus menjadi keutamaan. – KOSMO! ONLINE