SHAH ALAM – Seorang wanita memberitahu, dia hanya mahu mencari kebenaran di sebalik kematian anak lelakinya selepas Mahkamah tinggi di sini semalam memerintahkan kubur mangsa digali semula bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilakukan.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, (gambar kecil) 45, berkata, dia berharap dapat mengetahui punca sebenar kematian anak sulungnya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu.
Katanya, dia mahu segala kemusykilan dapat dirungkaikan melalui satu keputusan yang lebih tepat tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Matlamat utama ialah untuk mengetahui punca kematian sebelum kita fikir langkah seterusnya. Apa yang saya harapkan satu keputusan bedah siasat yang lebih betul dan telus tepat dan seterusnya satu siasatan yang perlu dijalankan.
“Buat masa sekarang kita mahu tengok keputusan bedah siasat, itu langkah pertama dan usaha kami,” katanya.
Ummu Haiman Bee berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah tinggi di sini yang memerintahkan supaya kubur Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih Selangor digali semula.
Dalam prosiding itu, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan permohonan wanita itu supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.
Ummu Haiman menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran pakar forensik dan peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.
Turut dipohon, satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Ummu Haiman juga memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.
Semasa prosiding, Ummu Haiman Bee diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili responden pertama, manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Syamsul Haris dikatakan meninggal dunia akibat kekejangan otot sekitar pukul 4 petang pada 28 Julai lalu ketika menyertai latihan bersama pasukannya.
Bagaimanapun, Ummu Haiman Bee mendakwa anaknya dibelasah berikutan kecederaan yang dialami berbeza dengan maklumat yang diterima mengatakan mangsa mengalami kekejangan otot.
Wanita itu mendakwa terdapat pendarahan pada leher dan hidung anaknya selain kesan lebam seperti dibelasah.
Dia kemudian membuat laporan polis supaya punca kematian anak sulungnya itu dapat dirungkai.