fbpx
HIMPUNAN RXZ Members 7.0 yang dilaporkan paling berjaya pada tahun ini apabila dihadiri oleh kira-kira 150,000 peserta.

Himpunan RXZ, politik dan akhlak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHNIAH diucapkan kepada penganjur di atas kejayaan Himpunan RXZ Members 7.0 yang dilaporkan paling berjaya pada tahun ini apabila dihadiri oleh kira-kira 150,000 peserta berbanding tahun lalu 60,000 orang.

Perhimpunan mega membabitkan jenama motosikal dua lejang yang diperkenalkan pada tahun 1985 itu ternyata menjadi tarikan kepada pelbagai peringkat golongan untuk tidak melepaskan peluang menyertainya.

RXZ yang sangat popular sekitar tahun 1990-an dan 2000-an dan kembali melonjak semula beberapa tahun kebelakangan ini dianggap legenda bagi peminat motosikal selain menjadi aset atau koleksi berharga.

Dengan reka bentuk sporty serta versi facelift model lampu petak dan kemudian lampu bulat selain ringan, lincah dan prestasi enjin ketika tunggangan menambah nilai kepada RXZ yang turut mendapat gelaran raja jalanan kerana kelajuan dan reputasi di jalan raya.

Apatah lagi dengan bunyi ekzos yang garang (kemudian diubah suai lagi untuk mengeluarkan bunyi lebih kuat, nyaring dan menyakitkan telinga), kelibat RXZ kini menjadi perhatian ramai.

Oleh itu, tidak hairan apabila saban tahun puluhan ribu pemilik dan peminat RXZ dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai perhimpunan tahunan berkenaan.

Mereka bukan sahaja sanggup berhabis wang ringgit menyelenggara kenderaan masing-masing untuk ‘berhari raya’ dan ‘berpesta’ tetapi juga bersiap fizikal dan mental menunggang jentera masing-masing sehingga ada yang lebih 10 jam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Semua itu dilakukan atas nama hobi, riadah, kesatuan dan silaturahim komuniti RXZ. Selain pengisian aktiviti sampingan, ternyata perhimpunan berkenaan membawa limpahan rezeki khususnya kepada peniaga kedai makan dan pengusaha inap desa serta hotel.

Namun dalam kemeriahan dan kegembiraan itu, terselit insiden yang pada pandangan penulis sedikit sebanyak mencalar perhimpunan berkenaan apabila lima nyawa terkorban ketika perjalanan pergi dan pulang peserta. Itu belum termasuk sebilangan yang cedera parah dan cedera ringan.

Meskipun kematian boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, namun nyawa terkorban kerana kurangnya disiplin diri, gagal menunggang secara berkonvoi dengan kaedah yang betul serta kurangnya kesedaran mematuhi undang-undang jalan raya menyebabkan ada ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan bapa dan isteri kehilangan suami.

Tidak kurang hangat apabila timbul isu ‘pemimpin negeri tidak dijemput’ menyebabkan berlaku adegan sorak dan boo semasa majlis perasmian yang memperlihatkan adanya protes atas sentimen politik kepartian.

Jika komuniti RXZ menumpukan kepada semangat perhimpunan, sewajarnya sentimen politik kepartian diketepikan sementara, tunjukkan akhlak yang mulia dengan menghormati majlis apatah lagi pihak yang tampil memberi sokongan kepada penganjur.

Hari ini, mungkin sebahagian besar komuniti RXZ sudah kembali ke tempat masing-masing. Tahun depan, jika panjang umur, ada rezeki boleh berhimpun lagi.

Jika tiada lagi ‘pukat’ daripada pihak berkuasa, para peserta sepatutnya ‘memukat’ diri supaya kita bukan sahaja baik akhlaknya di jalan raya tetapi juga di mana-mana sahaja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN