fbpx
Mohd. Na’im (tengah) hadir pada Majlis Sinergi Barakah KPMAIWP, hari ini.

KPMAIWP perkasa pendidikan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) melakar sejarah tersendiri apabila menandatangani 13 memorandum persefahaman (MoU) bersama pelbagai institusi serta dua memorandum perjanjian (MoA) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Majlis Sinergi Barakah, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah itu menjadi simbol kekuatan baharu selepas penggabungan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) pada Mei lalu.

Jelas beliau, ia sekali gus menjadikan KPMAIWP mercu tanda pendidikan Islam berteraskan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Persefahaman yang dimeterai bukan sekadar dokumen atas kertas, sebaliknya akan diterjemahkan melalui kerjasama nyata demi memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan kemahiran, khususnya untuk anak-anak asnaf. TVET hari ini bukan lagi jalan alternatif, tetapi tunjang utama pembangunan negara.

“Namun dalam kerangka Malaysia Madani, TVET membawa makna lebih luas; mendidik insan, menyemai jati diri, memperkukuh akhlak, dan membentuk kepedulian sosial,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU dan MoA berkenaan, di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, KPMAIWP turut merancang pembangunan Kompleks Akademi TVET dan menaik taraf bangunan pentadbiran menjelang 2025, di samping membuka peluang pengajian kepada pelajar antarabangsa termasuk dari Kemboja, Azerbaijan dan negara ASEAN lain.

“Usaha ini juga menunjukkan betapa pentingnya usahasama dalam memperkukuhkan ummah, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga memperluaskannya di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Dengan termeterainya 13 MoU dan dua MoA pada hari ini, saya amat berharap agar persefahaman ini diterjemahkan dengan tindakan nyata, konsisten dan berkesan demi masa depan anak-anak asnaf, dan demi memperkukuh ekosistem pendidikan MAIWP,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KPMAIWP, Zuri Zabuddin Budiman berkata, pada majlis itu KPMAIWP turut menerima sumbangan daripada enam agensi korporat dengan nilai keseluruhan sebanyak RM428,800.

Beliau berkata, melalui kerjasama ini, pelajar diberikan peluang pendedahan industri serta manfaat dalam bentuk latihan, penempatan kerja dan sokongan kebajikan.

“Sesungguhnya, sokongan yang diberikan ini amat besar maknanya kerana sebenarnya membantu memperkukuhkan dana pendidikan, kebajikan dan pembangunan sahsiah anak-anak asnaf.

“Kerjasama ini juga telah membuktikan bahawa tanggungjawab sosial bukan hanya slogan semata-mata, tetapi satu komitmen yang nyata dengan melahirkan modal insan berkualiti serta memperluaskan akses pendidikan, terutamanya kepada golongan yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI