SEGAMAT – Penduduk di sekitar daerah ini gempar susulan kejadian gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud berlaku pada waktu subuh, pagi hari ini.
Seorang penduduk, Firdaus Zazali, 27, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.13 pagi dengan bunyi dentuman kuat seakan-akan letupan bom atau mercun bola kedengaran disusuli gegaran dirasai dalam beberapa saat.
“Sewaktu kejadian, saya baru selepas menunaikan solat subuh dan bersiap untuk pergi kerja di Kampung Lubok Batu. Tiba-tiba saya terkejut bunyi letupan kuat seperti bunyi bom dan mercun bola. Saya ingat ade rumah terbakar atau meletup, saya keluar tinjau dekat luar rumah tetapi tak ada apa-apa berlaku.
“Tidak lama selepas itu, saya rasa ada gegaran beberapa saat dan ia hilang. Waktu itu tak terfikir ia adalah gempa bumi,” katanya ketika ditemui di Taman Laksamana di sini hari ini.
Menurut Firdaus yang bekerja pembantu kedai makan, kejadian itu merupakan pengalaman pertama merasa gegaran gempa bumi lebih-lebih lagi kedudukan Malaysia di luar Lingkaran Api Pasifik.
“Saya lihat di media sosial penduduk lain juga berkongsi rasa gegaran yang sama selain Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengesahkan kejadian itu,” katanya.-KOSMO! ONLINE