JAKARTA – Sepasang suami isteri tidak dapat menahan rasa sedih apabila bayi mereka dilahirkan dalam keadaan kepala terputus daripada badan di sebuah pusat kesihatan di Tanpanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku di Pusat Kesihatan Masyarakt Pinangsori, Isnin lalu.
Rakaman video dimuat naik di laman Facebook menunjukkan seorang lelaki sedang duduk sambil memeluk erat jasad anaknya yang dibalut dengan kain batik.
Sebilangan pengguna media sosial mendakwa kejadian itu berpunca akibat kecuaian petugas perubatan.
“Sebagai keluarga, kami hanya ingin tahu perkara sebenar. Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku sehingga kepala patah dan badannya masih berada di dalam perut,” demikian menurut keterangan video itu.
Seorang jurucakap pusat kesihatan tersebut tampil menjelaskan bahawa bayi itu telah meninggal dunia di dalam kandungan, namun perkara itu tidak dimaklumkan kepada ibu bapanya kerana bimbang panik.
“Petugas kami telah memeriksa denyut jantung sebanyak empat kali. Bayi itu telah meninggal dunia di dalam kandungan,” katanya. – AGENSI