PETALING JAYA – Pasukan Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi lima bintang selepas mudah menewaskan pendatang baharu, Brunei DPMM 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad TFC hanya memerlukan 10 saat untuk merobek benteng pasukan tuan rumah hasil jaringan pantas yang dilakukan oleh Careca.
Momentum cemerlang Sang Penyu diteruskan dengan kini giliran seorang lagi pemain import, Nurillo Tukhtasinov merembat gol kedua pada minit ke-16.
Bersambung pada babak kedua, DPMM FC cuba untuk perkemas jentera serangan dengan memburu gol dalam usaha untuk merapatkan kedudukan dengan TFC.
Namun, kelekaan benteng pertahanan menyaksikan TFC meraih sepakan penalti pada minit ke-70 yang mudah disempurnakan oleh Careca untuk gol kedua peribadinya.
Bekas penyerang antarabangsa Congo, Yann Mabella turut mencetak nama selaku penjaring apabila meledak gol keempat berselang 15 minit kemudian.
Pemain gantian, Syahmi Zamri melengkapkan kemenangan bergaya pelawat apabila meledak gol kelima pada masa kecederaan dengan keputusan 5-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan TFC mendahului carta Liga Super ketika ini dengan tujuh mata manakala Brunei kekal dengan satu mata selepas mengharungi tiga perlawanan. – KOSMO! ONLINE