fbpx
Steven pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Perkeso jenamakan empat skim kepada Lindung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan penjenamaan semula empat skim dibawahnya kepada Lindung sebagai usaha pembaharuan dan pengukuhan ekosistem perlindungan sedia ada.

Skim tersebut melibatkan Lindung Pekerja bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Lindung Kerjaya untuk Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), Lindung Kendiri bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Lindung Kasih menggantikan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penjenamaan nama skim tersebut juga adalah usaha mempromosikan produk di bawah Perkeso kepada masyarakat.

“Bila saya diberi tanggungjawab dalam kementerian antaranya kena berdepan dengan Perkeso. Perkeso bagitahu saya, ‘ini produk-produk kita’.

“Saya ‘habaq’ (cakap) pada Datuk Azman (Ketua Pegawai Eksekutit Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed), macam mana nak ingat huruf aksara semua ni. Dah lah banyak benda kena ingat.

“Kalau nak promosi produk jaminan keselamatan, kalau nama pun susah sebut, macam mana nak promosi, rakyat dan pekerja nak tahu,” katanya berucap pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung di sini, hari ini.

Steven berkata, justeru penjenamaan skim kepada Lindung adalah sesuai sekali gus selaras dengan tekad Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

“Antara faktor utama kita jalankan penjenamaan hari ini kepada konsep lindung dan saya rasa sesuai sekali. Tekad Kesuma kita berjuang angkat martabat pekerja serta menjadi perisai melindungi mereka di Malaysia,” katanya.

Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Lindung adalah identiti baharu yang mencerminkan misi dan visi Perkeso.

“Lindung bukan sekadar nama, sebaliknya ia ikrar Perkeso untuk melindungi yang lemah, menyokong golongan berusaha dan menjunjung maruah setiap pekerja dari kota ke desa bermula daripada pekerja am hingga ke peringkat professional.

“Harapan kami terhadap penjenamaan semula ini agar tiada siapa yang dibiarkan terjatuh tanpa sokongan Perkeso kerana kami percaya setiap rakyat yang memerlukan akan sentiasa ‘dilindungi’, ‘dibantu’ dan ‘diberdayakan’ demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Pada majlis itu, lapan majikan termasuk artis ternama dan usahawan diraikan sebagai Majikan Pesona Lindung iaitu Datuk Seri Nurhaliza Taruddin, Noor Neelofa Mohd. Noor, Datuk Dr. Mohd. Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Christy Ng serta Aeril dan Wawa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI