GEORGE TOWN – Kerja-kerja penambakan Silicon Island telah melepasi tanda aras 80.94 hektar, sekali gus menandakan kemajuan yang stabil bagi projek penambakan tanah terbesar di Pulau Pinang setakat ini.
Projek yang meliputi keseluruhan keluasan 930.78 hektar ini sedang dibangunkan dalam dua fasa iaitu 509.90 hektar di bawah fasa 1 dan baki 420.87 hektar di bawah fasa 2.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, pencapaian itu merupakan tanda positif bahawa projek sedang berjalan mengikut perancangan.
“Melepasi 80.94 hektar tanah tambakan bukan sekadar kemajuan fizikal. Ia adalah isyarat keyakinan
bahawa Silicon Island bergerak mengikut perancangan.
“Projek ini direka bentuk untuk menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang Pulau Pinang dengan menggabungkan infrastruktur bertaraf dunia, amalan pembangunan mampan serta
kemudahan berorientasikan komuniti,” katanya selepas mengiringi Yang DiPertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah telah melawat tapak projek Silicon Island di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Farizan berkata, Silicon Island akan membuka peluang baharu untuk pelaburan, inovasi dan pekerjaan di samping memastikan komuniti setempat mendapat manfaat daripada kemudahan yang lebih baik.-KOSMO! ONLINE