PETALING JAYA – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) melancarkan sebuah motosikal ‘sport’ QJMOTOR SRK 250R dan ditawarkan pada harga RM9,988.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike, Asri Ahmad berkata, motosikal tersebut berkuasa 249cc yang menggabungkan reka bentuk agresif, prestasi dinamik dan teknologi moden.
“Motosikal yang dilancarkan ini mempunyai reka bentuk superbike dan dilengkapi dengan spesifikasi dan ciri-ciri terkini dan ditawarkan pada harga yang lebih murah.
“Sasaran utama bagi motosikal ini adalah untuk golongan muda yang baru memiliki lesen motosikal serta mereka yang ingin memiliki motosikal gaya sport tetapi dengan harga yang lebih ekonomi,” katanya ketika majlis perasmian pembukaan Mforce SmartShop WHS Motor Sdn. Bhd. di Banting, Selangor baru-baru ini.
Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-injap, DOHC dengan sistem penyejukan cecair, QJMOTOR SRK250R mampu menjana kuasa maksimum 20.5kW pada 9,500rpm dan tork maksimum 22.5Nm pada 7,250rpm.
Motosikal tersebut hadir dalam tiga pilihan warna menawan iaitu Red Silver, Blue dan Black.
Dalam majlis yang sama Mforce turut melancarkan YADEA RS20, sebuah skuter elektrik serba moden yang menggabungkan gaya, prestasi dan kemudahan untuk kegunaan harian.
Ditawarkan pada harga RM4,998 dan skuter elektrik ini hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey.
Asri berkata, dengan pelancaran skuter elektrik itu, ia memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia.
“Malah harga jualan yang ditawarkan untuk skuter elektrik ini juga adalah harga yang mampu milik.
“Skuter elektrik ini juga layak untuk mendapat rebat sebanyak RM2,400 melalui skim galakan penggunaan motosikal elektrik MARiiCas yang disediakan oleh kerajaan dan mereka yang layak boleh memohonnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE