Cuti sekolah yang lepas kami sekeluarga telah menginap di salah satu chalet di Teluk Senangin, Lumut, Perak. Kebiasaannya ketika bercuti, masa adalah terhad kerana masing-masing ada agenda tersendiri untuk dipenuhi.
Saya pula sedaya upaya akan cuba memasukkan aktiviti memancing dalam tentatif bercuti itu. Set pancing pantai (surf fishing) dengan beberapa batang joran panjang antara 12 hingga 15 kaki dibawa, tetapi kawasan pantai dipenuhi pengunjung, baik yang menginap di chalet-chalet mahupun berkhemah.
Sepanjang masa, setiap sudut pantai ada sahaja orang memancing termasuk yang mandi-manda dan beraktiviti di pantai itu sendiri. Saya cuba juga menyelit dan memacak joran, namun perasaan tidak selesa itu terus menyelubungi.
Sudah semacam pertandingan memancing pantai pula keadaannya. Saya sememangnya sejak dari dahulu lagi tidak menggemari suasana yang ramai orang seperti itu.
Tidak mahu berlaku kemalangan yang tidak diduga, maka sesi pancingan dasar itu saya tamatkan.
Saya perhatikan ada juga pemancing yang lari jauh dari hiruk-pikuk manusia dengan trekking
dan memancing di kawasan berbatu di satu tanjung berhampiran.
Namun, saya tidak membawa kelengkapan untuk meredah kawasan sebegitu kerana ini merupakan kali pertama saya ke Teluk Senangin, jadi niat untuk ke sana terus dibatalkan.
Pantai sunyi
Ada satu hotel yang terletak di sebalik tanjung berbatu itu dan apabila dirujuk aplikasi Google Map, saya dapati ada satu lagi pantai berteluk kecil bersebelahan dengannya.
Selepas makan tengah hari, kami berjalan kaki sahaja dari chalet dan masuk ke hotel tersebut. Namun, kawasan pantainya serasa saya hanya untuk pelanggan hotel itu. Lantas kami susur jalan bersebelahan dan nampak ada satu titi kayu merentasi satu sungai kecil yang menuju terus ke pantai.
Mungkin pantai itu tidak ramai orang dan boleh dicuba pada waktu petang nanti.
Shore jigging
Selain peralatan untuk surf fishing, saya juga sentiasa membawa set pancing untuk shore jigging dengan joran panjang antara tujuh kaki setengah hingga ke lapan kaki, berkekuatan antara PE0.6-1 dan PE1-2.
Joran ini digandingkan dengan kekili spinning saiz antara 1000 hingga 2500 yang diisi tali utama jenis sulam antara enam hingga 10 paun (lb) dengan perambut fluorocarbon antara 15 hingga 20lb.
Set shore jigging sebegini sudah memadai untuk melontar jig saiz kecil antara lima hingga 30 gram (g).
Sebenarnya, itu kali pertama saya ingin mencuba potensi shore jigging di Pantai Barat kerana sebelum ini saya lebih terarah di perairan Pantai Timur terutamanya kawasan pantai dan tambak berbatu di Terengganu.
Petang itu, kami terus ke pantai yang dihajati, dan ternyata tidak ramai orang di sana. Hanya ada tiga orang pemancing dasar. Tiada pengunjung yang mandi-manda, mungkin kerana kawasan pantainya juga tidak bersih, ia dipenuhi sampah sarap hanyut dan airnya juga sedikit berkeladak.
Ada kelihatan aktiviti ikan bermain air terutamanya di sepanjang satu paip PVC tinggal yang menganjur hingga ke tengah laut. Jig terus dicuba dan saya dapati kawasan dasar pantai ini cetek sahaja.
Jig harus dilempar jauh barulah dapat sampai ke kawasan sedikit dalam antara enam hingga lapan kaki. Namun, di kawasan cetek antara dua hingga ke empat kaki sudah ada ikan mengetu jig dan juaranya tidak lain dan tidak bukan adalah ikan mengkerong atau ikan kerong yang terkenal suka mengacau umpan.
Sekejap-sekejap kena ikan kerong ini dan saiznya juga kecil antara dua hingga tiga jari sahaja. Namun, tetap seronok dilayan dengan jig saiz kecil dan joran shore jigging ultralight.
Cencaru tepi pantai?
Saya perhatikan terdapat beberapa letupan-letupan kecil sekumpulan ikan dan ia kadangkala merapat hingga lima ke enam kaki sahaja ke gigi air. Nazreen mencuba dengan bertukar-tukar jig sehinggalah dia menggunakan jig saiz 10g sebelum kena ikan tersebut.
Alangkah terkejutnya kami kerana rupa-rupanya ia adalah ikan cencaru. Sungguh saya tidak sangka ikan ini berani rapat ke pantai. Mungkin keadaan pantai yang sunyi atau kewujudan banyak makanan membuatkan ia bermain di kawasan ini.
Namun, saiznya tidak besar, dikategorikan sebagai baby sahaja. Ia juga sangat culas dan sekejap sahaja tenggelam dan timbul ke sana dan sini. Kami dapat banyak cencaru ini dan ia kuat juga melawan, jika ada apollo mungkin tangkapan boleh jadi berganda.
Hampir lewat petang, kelihatan ada kumpulan ikan bermain di permukaan air bersebelahan dengan paip PVC yang terapung tetapi jaraknya jauh, saya tukar ke jig yang lebih berat iaitu 25g barulah sampai ke lokasinya.
Talang pandan
Sebaik jig jatuh sahaja, ia terus dirembat kuat, tetapi tidak lekat. Percubaan kali ketiga barulah solid hook-up, ikan dilayan hinggalah ke gigi air, malangnya terlucut pula. Tidak dapat dipastikan ikan spesies apa.
Anak saya, Ryan mengambil alih set jigging dan dia kena seekor. Tanpa membuang masa, ikan terus dikarau dan sebaik sampai ke gigi air, terus dia henjut naik, baru-lah tahu rupanya ia adalah ikan talang pandan.
Kami cuba beberapa kali ke tempat yang sama tetapi kumpulannya menjadi culas selepas banyak kali terlepas akibat mata kail jig tidak lekat kukuh di mulut. Hari juga semakin gelap dan melintasi titi tadi pasti menjadi bahaya, jadi kami tamatkan sahaja sesi shore jigging.

Walaupun ikan-ikan yang kena jig adalah kecil, namun saya amat berpuas hati dengan potensi yang ada di lokasi ini, walaupun ia kelihatan tidak produktif langsung. Mungkin kurangnya manusia di sini menyebabkan ikan berani rapat ke pantai.
Nampaknya, saya kena turun lagi ke sini di waktu keadaan arus berlainan pula untuk mencuba potensi yang ada selanjutnya.















