fbpx
BUKAN hanya dalam lagu, Dayang dan Hael kini sudah dilamar untuk sama-sama bertindak sebagai wajah kempen untuk sebuah jenama fesyen lokal.

‘Kerja dengan orang yang dikenali memang memudahkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT sahaja nama Dayang Nurfaizah, beliau bukan sahaja lazim dengan vokal hebat, tetapi juga penjagaan nilai eksklusiviti dalam memilih jenama atau pihak yang menawarkan kerjasama.

Terkenal sebagai antara selebriti yang sangat selektif daripada pelbagai aspek, penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang itu hanya memilih projek yang benar-benar serasi dengan naratif prinsip karyanya.

“Bagi saya, sebelum setuju apa-apa, saya nak faham dulu apa pendekatan mereka? Apa kempen mereka? Ke mana arah kerja mereka? Itu yang penting bagi saya.

“Bila saya dah jelas, barulah kita berbincang,” kata Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty.

Namun, pendekatan sebegitu edikit berbeza apabila Dayang ‘dilamar’ Amber Eksklusif Casual Wear, jenama bawah kendalian Usanita Sdn. Bhd.

Tawaran tersebut datang bersama koleksi premium terbaharu label berkenaan, Somewhere Somehow Someone, yang menampilkan dua figura ternama, Hael Husaini dan Dayang sendiri sebagai duta rasmi.

“Saya fikir banyak kali juga. Tapi bila saya tengok rekaan mereka, terus rasa macam sangat sesuai dengan gaya saya.

“Mereka kata ini cuma casual wear, bukan stage outfit. Saya memang suka yang simple dan praktikal,” ujar pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu lagi.

‘Selesa, bukan sebab harga’

Ditebak persoalan bayaran lumayan sebagai faktor utama, kata Dayang: “Setiap projek yang diterima bukan dinilai pada berapa besar bayaran, tetapi kesesuaian rekaan dengan diri saya.

“Kalau tak sesuai, saya tak akan buat walau bayarannya tinggi.”

Bagi Dayang, kerjasama tersebut bukan sekadar urusan komersial, malah satu bentuk sokongan terhadap produk lokal.

“Ini salah satu sebab utama saya terima. Saya nampak jenama ini ada potensi besar. Mereka kreatif, tapi tetap tahu kekalkan identiti simple yang saya suka,” ulasnya.

Selain itu, faktor keserasian dengan pasukan turut memainkan peranan.

“Bekerja dengan orang yang kita kenal dan serasi memang memudahkan. Kita boleh berbual, cepat buat keputusan dan kerja jadi lebih lancar. Kalau tak kenal, prosesnya mungkin lebih panjang,” katanya lagi.

Sebahagian sesi penggambaran koleksi Somewhere Somehow Someone turut membawa Dayang ke New Zealand yang dianggap sebagai satu pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan.

“Kami tak hanya di bandar, malah sampai ke kawasan pergunungan. Memang suasana lain macam.

“Kerja satu hari untuk semua baju, tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Saya rasa seronok dan puas hati,” ujarnya sambil tersenyum.

Koleksi Somewhere Somehow Someone dicipta khusus untuk golongan T20 yang mendambakan fesyen kasual berprestij. Menggabungkan rekaan moden kontemporari, fabrik premium serta kemasan eksklusif yang memancarkan aura elegan dan keyakinan diri.

Signatur

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Hasan, pemilihan Hael dan Dayang adalah tepat kerana seiring dengan signatur Amber.

“Hael dan Dayang adalah cerminan sempurna kepada DNA Amber iaitu penuh gaya, berkarisma, dan memiliki pengaruh besar dalam membentuk aspirasi fesyen.

“Mereka bukan sekadar ikon hiburan, malah lambang kejayaan dan personaliti unggul yang seiring dengan visi kami untuk menjadikan Amber sinonim dengan fesyen kasual premium di Malaysia,” katanya.

Pelantikan Dayang juga katanya turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya penyanyi itu bersetuju menjadi wajah rasmi bagi sebuah produk tempatan.

“Kepercayaannya terhadap jenama tempatan yang menepati standard antarabangsa membuktikan bahawa fesyen buatan Malaysia mampu berdiri setaraf jenama global,” jelas Adzliana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI