KAJANG – Seorang lelaki berusia 54 tahun cemas apabila jarinya membengkak selepas cincin besi yang dipakai tidak dapat ditanggalkan sehingga memaksa pasukan bomba menjalankan operasi khas di Hospital Kajang, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 malam.
Menurutnya, sebaik tiba tiga minit kemudian, komander operasi mendapati mangsa sudah diberikan ubat bius oleh doktor sebelum kerja-kerja memotong cincin dijalankan.
“Pasukan kami terpaksa menggunakan mesin pemotong besi dan ‘cutter’ khas untuk mengeluarkan cincin jenis ‘steel’ itu.
“Proses berkenaan mengambil masa hampir tiga jam kerana cincin terlalu tebal selain keadaan jari mangsa yang sudah membengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bermula pada pukul 11.15 malam dan hanya selesai kira-kira pukul 1.51 pagi.
Tambahnya, selepas cincin berjaya dikeluarkan dengan selamat, mangsa diberikan rawatan susulan oleh pihak hospital. – KOSMO! ONLINE














