PETALING JAYA – Trend ibu bapa memilih nama panjang dan unik untuk anak mungkin kelihatan istimewa, namun kajian psikologi dan sosial menunjukkan ia boleh mendatangkan kesan negatif.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), beberapa kajian psikologi dan sosial menunjukkan bahawa nama yang terlalu panjang atau sukar disebut berpotensi menimbulkan pelbagai masalah, sama ada dari sudut sosial, emosi mahupun praktikal.
Kata PHM, kajian diterbitkan dalam Journal of Experimental Social Psychology misalnya, mendapati nama yang mudah disebut lebih disukai dan dipercayai oleh orang lain.
Sementara itu, PHM turut berkongsi kajian lain yang menunjukkan nama lebih pendek dan jelas memberi kesan positif dalam kerjaya, hubungan sosial serta reputasi seseorang itu.
“Dari sudut kognitif, otak manusia lebih cepat memproses dan mengingati perkataan ringkas atau dikenali sebagai processing fluency. Sebaliknya, nama yang panjang atau pelik lebih sukar diingati dan kerap salah sebut,” jelas PHM menerusi perkongsian di Facebook.
Tambah PHM, antara risiko lain nama terlalu panjang termasuklah tidak muat di ruangan borang rasmi, mudah tersalah eja, menyusahkan dalam dokumen antarabangsa, serta memberi tekanan emosi apabila kerap salah disebut.
Sehubungan itu, beberapa panduan dicadangkan PHM untuk ibu bapa dalam memilih nama anak, antaranya tetapkan sekitar dua hingga tiga perkataan serta elakkan kombinasi huruf yang terlalu pelik atau jarang digunakan.
“Sediakan pilihan nama panggilan yang ringkas dan mesra digunakan setiap hari. Fikir jangka panjang dengan membayangkan anak menggunakan nama tersebut di sekolah, universiti, tempat kerja atau dokumen rasmi.
“Selain itu, utamakan makna, bukan panjang. Doa yang baik tetap tersimpan walaupun nama ringkas,” cadang PHM. – KOSMO! ONLINE