KUALA LUMPUR – “Makanan itu cinta, persahabatan, keamanan dan juga lambang penghormatan terhadap seluruh insan.”
Demikian kata cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan ketika ditanya tentang fenomena ‘lambakan’ makanan dari luar negara yang kian mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Katanya, keterbukaan menerima makanan dari pelbagai negara bukan sekadar soal selera, tetapi cerminan kepada kematangan, kasih sayang serta penghargaan terhadap budaya global.
“Bila kita belajar sayang budaya orang, kita akan belajar sayang orang itu sendiri. Tak kira dari India, China, Jepun atau Asia Barat, makanan mereka mencerminkan siapa mereka,” katanya dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Chef Selebriti Signature Malaysia meminta masyarakat agar tidak bersikap eksklusif terhadap makanan asing, sebaliknya menganggapnya sebagai satu peluang untuk merapatkan perbezaan dan memupuk persefahaman sejagat.
“Takkan orang Melayu dan Islam saja nak hidup? Bangsa lain pun wujud, agama lain pun ada. Semua ada tempat di dunia ini. Kita hidup dalam satu dunia, sebagai satu bangsa manusia,” katanya.
Chef Wan turut menyifatkan keterbukaan terhadap makanan antarabangsa sebagai langkah menjadikan Malaysia sebuah negara kosmopolitan yang kaya dengan budaya dan nilai kemanusiaan.
“Kita nak orang luar hargai makanan warisan kita, tapi kita tak nak hargai makanan orang lain? Dunia ni bebas, dan itulah keindahannya,” ujar beliau.
Katanya, usaha memartabatkan makanan warisan perlu diteruskan, namun pada masa sama, rakyat juga wajar bersikap terbuka dan menghargai cita rasa dari luar yang turut memberi warna kepada identiti makanan tempatan. – KOSMO! ONLINE














