Presiden Donald Trump sekali lagi memainkan peranan sebagai pendamai, kali ini bagi mengakhiri perang Ukraine yang berterusan sejak Februari 2022 pada pertemuan dengan ‘orang kuat Russia’, Vladimir Putin di Alaska kelmarin.
Trump mudah ‘memujuk’ Thailand dan Kemboja baru-baru ini, dan hanya perlu menyebut perkataan ‘tarif’ untuk kedua-duanya berdamai, namun situasi di perbatasan Eropah Timur jauh lebih getir.
Menurut beberapa sumber, perang Ukraine mengorbankan antara 185,000 hingga 267,000 nyawa askar Russia, manakala Kyiv kehilangan lebih 100,000 anggota tenteranya.
Mengambil kira bilangan tentera yang cedera, mati dan hilang, angka tersebut dianggarkan melonjak lebih sejuta orang membabitkan Russia setakat Mei 2025 dan lebih 400,000 di pihak Ukraine.
Situasi sekarang juga menunjukkan Ukraine hilang lebih 20 peratus wilayahnya kepada Russia, namun angka korban Kremlin terus meningkat sedangkan Kyiv berdepan kekurangan tenaga tentera dan tentera sedia ada kelesuan
Beberapa pakar memberi amaran, Ukraine berdepan risiko dipadam daripada peta dunia jika perang ini dibiarkan berterusan melewati 2030.
Tinjauan pendapat mendapati rakyat Ukraine sudah mula bosan dengan peperangan yang berterusan ini.
Jika dibiarkan berlanjutan, perang ini boleh ‘memburuk’ menjadi proksi dengan penyertaan Korea Utara dan sokongan senjata Iran yang akan menjerumuskan NATO serta mengheret sekali Amerika Syarikat.
Kemenangan Moscow pula jika dibiarkan, akan menunjukkan kepada dunia bahawa Barat bukan lagi merajai dunia, menjadikan China serta kuasa lain lebih berani dalam mengubah ‘order dunia’ lama.
Semua ini menjadi pendorong untuk Trump cuba menamatkan perang Ukraine. Namun, terbukti, halangannya sangatlah sukar.
Permintaan Presiden Volodymyr Zelensky untuk tidak menyerahkan wilayah Ukraine, Kyiv diterima menganggotai pakatan pertahanan terbesar dunia, NATO dan pengunduran tentera Russia adalah sesuatu yang agak ‘mustahil’.
Moscow kehilangan nyawa ratusan ribu askarnya sementelah tuntutan Kyiv tidak berpaksi kepada realiti.
Trump juga perlu mendesak Putin supaya tidak meneruskan kemaraan tenteranya sedangkan Moscow mengesyaki bahawa sebarang jeda dalam pertempuran akan menjadi alat dan memberi masa kepada Kyiv yang disokong Eropah, khususnya Jerman, Perancis dan Britain untuk mengatur kembali pertahanan mereka.
Russia tidak sesekali akan menyerahkan wilayah dan kawasan Ukraine yang telah ditawan, manakala Kremlin meletakkan syarat ketat Ukraine tidak boleh dibenarkan menyertai NATO.
Putin dan Zelensky juga berdepan risiko dianggap ‘pembelot’ oleh rakyat masing-masing sekiranya mereka beralah dalam konfrontasi di Ukraine. Trump perlu atasi semua ranjau ini jika mahu mengakhiri perang di Ukraine.
















