JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap beberapa insiden yang menjejaskan imej negara termasuklah serangan terhadap anak Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Rabu lalu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya bimbang sekiranya tiada tindakan diambil akan mewujudkan tanggapan seolah-olah ada tangan ghaib atau ‘deep state’ di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan jemaah menteri Kabinet kerajaan perpaduan dapat bertindak pantas mengatasi perkara ini.
“Ugutan terhadap ahli politik, kejadian buli di sekolah, tahanan maut dalam lokap atau penjara, kes-kes seperti ini walaupun tidak banyak tetapi ia berlaku, jadi jangan biarkan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.
“Kita tuntut kepakaran pihak berkuasa untuk tangani perkara ini, negara ini ada undang-undang ia bukanlah negara mafia, kejadian terkini menyebabkan ramai pihak takut untuk tampil bersuara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf di Kampung Bendahara, di sini hari ini.
Rabu lalu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memaklumkan bahawa anak lelakinya telah diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 1.45 petang.
Beliau dilaporkan berkata, anaknya diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika ingin memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah tersebut. – KOSMO! ONLINE














