KUALA LUMPUR – Lantunan lagu ‘Justice For Zara’ di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, malam ini mengundang sebak orang ramai.
Lagu yang dicipta khas sebagai solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu telah menyentuh hati semua pengunjung yang hadir berhimpun malam ini.
Setakat pukul 9 malam, lebih 1,000 rakyat pelbagai lapisan umur dan bangsa dipercayai hadir berhimpun, di sini, dalam keadaan terkawal dengan kawalan kesalamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Zara Qairina, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Pada 9 Ogos lalu, mayat Zara Qairina digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan dikebumikan semula pada keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. – KOSMO! ONLINE