WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran keras kepada rakan sejawatan dari Russia, Vladimir Putin berhubung perang Ukraine, lapor laman berita MailOnline semalam.
Trump berkata, akibatnya sangat berat jika Russia tidak bersetuju untuk menghentikan perang di Ukraine selepas pertemuan mereka esok.
Trump mengambil nada lebih tegas terhadap Putin sambil berkata, beliau masih belum yakin dapat memujuk Presiden Russia itu untuk berhenti membunuh orang awam selepas perang bermula pada Februari 2022.
Dalam perkembangan yang lebih positif untuk Ukraine, Trump berkata, pertemuan hari ini hanyalah persediaan awal untuk mesyuarat kedua di mana Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky akan hadir.
“Kami tidak akan mengadakan mesyuarat kedua,” kata Trump yang memberi amaran jika beliau tidak mendapat jawapan yang diperlukan esok.
Apabila ditanya sama ada Russia akan berdepan akibat buruk jika senario itu berlaku, Trump menjawab: “Ya, mereka akan. Akan ada akibatnya.”
Ketika ditanya sama ada akibat itu berbentuk sekatan atau tarif, Trump berkata: “Saya tidak perlu nyatakan. Akan ada akibat yang sangat berat.” – AGENSI