PETALING JAYA – Seorang pelancong warga Britain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang lelaki warga Indonesia di sebuah hotel, minggu lalu.
Tertuduh, Adekoya Oluwatoyosi Osideinde, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Adekoya didakwa mencabul seorang lelaki di sebuah hotel di Seksyen 52, di sini pada pukul 8.34 pagi, 2 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui mencadangkan agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan kerana lekaki terbabit merupakan warga asing.
Bagaimanapun, peguam bela, R. Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sambilan sebagai perunding kewangan dan datang ke Malaysia sebagai pelancong dengan visa yang sah.
Menurut Sivaraj, anak guamnya kini sedang dibicarakan bagi satu kes lain di Mahkamah Sesyen di sini mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan telah diberikan jaminan RM5,000 serta dua penjamin.
Peguam itu turut mencadangkan agar mahkamah mengenakan syarat tambahan seperti menahan pasport selain perlu melapor diri di balai polis terdekat.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE